MAHB dinyahsenarai selepas 25 tahun di Bursa Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA: Saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan dihentikan dagangan Khamis ini, sekali gus menandakan penyahsenaraiannya di Bursa Malaysia setelah berada di pasaran saham tersebut selama 25 tahun.

Ini susulan Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA) menyelesaikan tawarannya untuk menswastakan MAHB pada harga RM11.

Justeru, Bursa Malaysia akan menggantung dagangan saham MAHB pada 20 Februari ini sebagai persediaan untuk penyahsenaraian syarikat daripada Pasaran Utama.

Berikutan perkembangan itu, semua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif (INED) MAHB telah mengemukakan peletakan jawatan mereka yang akan berkuat kuasa pada tarikh penyahsenaraian syarikat itu.

Mereka adalah Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Ir Mohamad Husin dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Ramanathan Sathiamutty; Cheryl Khor Hui Peng; Datuk Seri Ir Koe Peng Kang dan Chris Chia Woon Liat.

Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Zainun Ali yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah juga telah mengemukakan peletakan jawatannya berikutan tamat tempoh perkhidmatannya sebagai penama Kementerian Kewangan (Diperbadankan) [MOF Inc.] pada 16 Februari lalu.

Pengerusi MAHB, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, tindakan itu susulan mesyuarat Lembaga Pengarah terakhir sebagai syarikat tersenarai Bursa Malaysia yang diadakan kelmarin.

“Ini menandakan berakhirnya perjalanan selama 25 tahun MAHB sebagai sebuah syarikat tersenarai awam yang bermula pada November 1999 apabila ia membuat debut pada RM2.50 sesaham.

“Tawaran oleh konsortium GDA untuk menswastakan MAHB baru-baru ini dimuktamadkan pada RM11 sesaham, sekali gus mencerminkan kadar pertumbuhan purata terkompaun (CAGR) melebihi 6.0 peratus dalam harga saham sepanjang 25 tahun.

“Syarikat itu juga telah mengagihkan sejumlah RM2.806 bilion dividen sehingga 2023,” katanya dalam kenyataan.

Nungsari secara peribadi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengarah bebas atas perkhidmatan mereka kepada syarikat.

“Semasa kita menamatkan fasa perjalanan MAHB ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, kakitangan dan tiga kesatuan dalam Kumpulan MAHB atas dedikasi mereka kepada kumpulan.

“GDA kini akan bertanggungjawab secara kolektif untuk kesejahteraan syarikat, kebajikan kakitangannya dan pembangunan keseluruhan sektor penerbangan di Malaysia secara amnya.

“Saya mengharapkan mereka membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi sambil memenuhi kewajipan OA di Malaysia dan perjanjian konsesi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen,” ujarnya.

GDA, sebuah konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) memperoleh 98.68 peratus saham MAHB berikutan tawaran pengambilalihan mereka.

Kelmarin, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memberi jaminan kedaulatan dan kepentingan negara tidak akan terjejas walaupun langkah penswastaan MAHB dilaksanakan.

Kementerian menjelaskan konsortium yang mengambil alih MAHB diterajui oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) iaitu Khazanah Nasional dan KWSP dengan pegangan majoriti 70 peratus.

“Kerajaan juga mengekalkan pegangan saham khas atau ‘golden share’ dalam MAHB, yang memberi kuasa terhadap pelantikan pengerusi serta pengarah urusan syarikat, bagi memastikan hala tuju MAHB sejajar dengan kepentingan negara,” jelasnya. – UTUSAN