KOTA KINABALU: “Selama saya berpolitik, saya tidak pernah terhegeh-hegeh untuk menjadi calon. Namun, jika rakyat di kawasan masih mahu saya bertanding, saya sedia untuk bertanding,”.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata demikian apabila ditanya jika beliau sedia untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, biarpun usianya hampir 70 tahun namun, beliau masih sihat dan mampu memberi khidmat kepada rakyat di kawasannya.
“Biarpun rambut saya putih tapi, saya masih boleh bekerja. Orang cakap di atas salji tapi di bawah api. Begitulah gambaran mengenai komitmen saya untuk bekerja demi rakyat.
“Jadi, sama ada saya bertanding atau tidak, ia terpulang kepada kehendak rakyat dan pengundi di kawasan. Apabila kita ada trek rekod yang baik dan buat sesuatu demi rakyat, itu akan membuatkan kita terus dipilih.
“Walaupun orang cakap saya tidak memperjuangkan rakyat tapi, itu hanya persepsi individu yang menjadi musuh politik. Realitinya tidak begitu, saya sentiasa utamakan rakyat di kawasan. Jadi, kalau rakyat minta saya terus bertanding maka, saya akan galas tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengulas tentang panggilan ‘katak’ susulan tindakan keluar Parti Warisan (Warisan) pada Oktober 2021, Yusof berkata, gelaran itu tidak adil diberikan kepadanya kerana dua ADUN DAP juga bertindak melompat keluar dan menyertai Warisan.
“Dua orang daripada DAP iaitu ADUN Tanjung Batu dan Elopura itu apa? Belingkasa (belingkarung), bukan katakkah? Jadi, bila kena dengan orang dia (Presiden Warisan) cakap begini, bila kena dengan dia…dia tidak mahu cakap.
“Kita kena bertindak adil, bila orang kata saya katak, ada sebab mengapa saya meninggalkan Warisan. Saya tidak mahu dedah sahaja sebab saya tahu semua sebab dulu saya adalah Ketua Penerangan Warisan,” katanya.