Arif Aiman, bintang muda malaysia raih perhatian ‘World Soccer Magazine’

Sukan

PEMAIN sayap kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi, terus mencatat sejarah sebagai pemain muda Malaysia pertama yang tersenarai dalam Football’s 50 Wonderkids edisi Februari 2025 oleh majalah bola sepak No. 1 dunia sejak 1960, World Soccer di mana namanya sejajar dengan bakat muda terhebat Eropah dan Amerika Selatan sekali gus membuktikan potensinya sebagai ikon bola sepak Asia yang sedang meningkat naik.

Pemain tengah Aston Villa, Jhon Duran, Desire Doue (Paris Saint-Germain), Pau Cubarsi (Barcelona) dan penjaga gol Real Madrid, Fran Gonzalez antara bintang-bintang muda tersenarai bersama Arif Aiman.

Arif Aiman telah meraih tiga anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) berturut-turut (2021-2023) dan mengukir nama sebagai penyerang kanan paling produktif di Liga Malaysia (Liga M).

Musim 2024/25 menjadi pentas di mana Arif Aiman membuktikan kelas antarabangsa dengan lima gol dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Arif Aiman hanya ketinggalan satu gol di belakang Cristiano Ronaldo (Al-Nassr) yang telah menjaringkan enam gol dalam saingan ACLE musim ini di mana prestasi ini mengangkat reputasinya sebagai pemain tempatan pertama yang bersaing sengit dengan bintang global.

Semalam, Arif Aiman menjadi tonggak kemenangan JDT 5-2 ke atas Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim. Golnya pada minit ke-56 menjadi penentu: memanfaatkan kesilapan penjaga gol Yoon Pyung-Guk, dia menggelecek melewati penjaga gol sebelum menyudahkan gol ke gawang kosong.

Gol ini bukan sahaja melonjakkan skor ke 3-1, malah menyerlahkan kebijaksanaan dan ketenangannya di depan pintu gol .

Dek kelincahannya di atas padang, kemampuan Arif Aiman mengimbangi kecepatan, teknik, dan kepantasan membuatnya dipuji pengkritik bola sepak Asia.

Media Korea Selatan menggambarkannya sebagai ‘pemain yang mampu mengubah momentum perlawanan’.

Di bawah bimbingan Hector Bidoglio, JDT bukan sekadar kelab tempatan tetapi simbol kebanggaan Asia. Kemenangan ke atas Pohang Steelers mengesahkan slot mereka ke pusingan 16 ACLE, menambah rekod sebagai satu-satunya pasukan Malaysia yang konsisten di peringkat elit Asia.

Kisah Arif Aiman membuktikan bahawa anak Melayu mampu bersaing di peringkat tertinggi. Dari program MyKids ke pentas ACLE, dia menjadi bukti bahawa kesungguhan dan sistem sokongan yang kukuh mampu melahirkan bintang dunia .

Kejayaan Arif Aiman tidak terlepas daripada sokongan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dan pemilik JDT. Tunku Mahkota Ismail bukan sekadar pemimpin, tetapi juga pencetus revolusi bola sepak Malaysia melalui pembangunan infrastruktur dan sistem latihan berteknologi tinggi di akademi JDT.

Baru-baru ini Tunku Mahkota Ismail menghadiahkan jam tangan mewah Rolex kepada Arif Aiman sebagai simbol penghargaan atas dedikasinya.

Hadiah jam tangan Rolex dari Tunku Mahkota Ismail bukan sekadar barang mewah tetapi lambang pengiktirafan terhadap sumbangannya di mana Arif Aiman menjadi bukti kepada produk yang kita boleh mencipta legenda.

Apa yang pasti, berbekalkan bakat, disiplin, dan sokongan pemimpin seperti Tunku Mahkota Ismail, Arif Aiman berpotensi menjadi wajah baru bola sepak Asia di mana senarai 50 Wonderkids hanyalah permulaan dan dunia sedang menanti langkah seterusnya sang wonderkid dari skuad Harimau Selatan ini.