PETALING JAYA: Keuntungan bersih Petronas Gas Berhad (PGB) untuk suku keempat tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 RM417.03 juta, menurun sebanyak 5.6 peratus berbanding RM441.59 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, PGB berkata, bahawa keuntungan bersih merosot pada suku akhir 2024, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan daripada penyelenggaraan saluran paip dan terminal regasifikasi serta peningkatan kos gas.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB berkata, kumpulan PGB dijangka akan menyampaikan prestasi kewangan yang sihat untuk 2025 berdasarkan prestasi operasi yang kukuh berterusan.
Beliau menambah, walaupun kos operasi dijangka meningkat, termasuk kos yang berkaitan dengan aset yang baru disiapkan, kumpulan komited untuk mengoptimumkan kecekapan kos bagi mengurangkan impaknya.
“Selain itu, kumpulan akan terus memberi keutamaan kepada inisiatif pertumbuhan yang lestari dan berusaha untuk memaksimumkan pulangan untuk pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
PGB juga mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 22 sen sesaham, sama seperti suku yang sepadan pada tahun kewangan 2023, menekankan komitmen kumpulan untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Bagi tahun kewangan 2024, hasil kumpulan meningkat kepada RM6.54 bilion, iaitu kenaikan sebanyak 1.4 peratus berbanding RM6.45 bilion pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini terutama disumbangkan oleh peningkatan hasil dari segmen pemprosesan gas, yang disokong oleh pendapatan caj tempahan yang lebih tinggi di bawah tempoh baharu.
“Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih rendah dari segmen utiliti, yang terjejas terutamanya oleh harga produk yang lebih lemah,” katanya.
Jelasnya, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) menurun sebanyak 1.1 peratus terutamanya disebabkan oleh penurunan bahagian keuntungan dari syarikat usaha sama (JV).
“Walau bagaimanapun, PGB berjaya mengurangkan impak ini melalui pengurusan risiko yang strategik, termasuk penyelesaian awal liabiliti sewa dolar Amerika Syarikat (AS) untuk Terminal Regasifikasi LNG Sungai Udang (RGTSU), yang mengurangkan kos pembiayaan.
“Selain itu, pergerakan pertukaran asing yang menguntungkan daripada pengukuhan ringgit berbanding liabiliti sewa dolar AS turut membantu meredakan penurunan tersebut.
“Prestasi kewangan kukuh PGB diperkukuhkan lagi dengan keberkesanan operasi yang berterusan dan program penyelenggaraan proaktif, memastikan kebolehpercayaan aset yang tinggi merentasi portfolio kami,” katanya.-UTUSAN