Nur Azmi angkat kembali martabat bola sepak Melaka

Sukan

PETALING JAYA: Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad menjadi individu penting dalam mengangkat kembali martabat bola sepak Melaka melalui kepimpinan dan visinya.

PEMILIK pasukan Melaka FC, Nur Azmi Ahmad dijulang oleh pemain-pemain Melaka FC.

Tampil sebagai pemilik Melaka FC, beliau telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan memulihkan pasukan bola sepak Melaka.

Salah satu langkah utama yang diambil oleh Nur Azmi adalah menubuhkan pasukan baharu dengan memberikan nama Melaka FC di mana inisiatif ini bertujuan untuk memberikan identiti baharu dan semangat segar kepada pasukan, selaras dengan usaha memperkasa bola sepak negeri.

Bermula di Liga M3 2023 yang dijenamakan sebagai Liga A1 Semi-Pro pada tahun lalu, Melaka FC sekadar menduduki tangga ke-10 liga dan hanya mara pusingan kedua Piala FA.

Namun, Melaka FC tidak mengambil masa lama untuk menyinar apabila menunjukkan prestasi cemerlang dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship musim 2024/2025 dan berjaya merangkul kejuaraan liga tersebut, mencatatkan 21 kemenangan dan mengumpul 68 mata keseluruhan sejak berada di bawah pimpinan beliau.

Dek kejayaan itu, Melaka FC selaku juara Liga A1 Semi-Pro dan memiliki slot ke Liga Super musim hadapan telah membuktikan misi dan perancangan Nur Azmi yang sememangnya mahu skuad Hang Tuah itu kembali beraksi di liga elit negara dalam tempoh tiga tahun.

Pun begitu, kejayaan yang hadir itu tidak datang dengan begitu mudah sebagaimana Nur Azmi menekankan kepentingan kebajikan pemain dan staf pengurusan sebagai keutamaan.

Beliau memastikan pembayaran gaji dilakukan dua kali sebulan dan menyediakan bonus bagi setiap perlawanan, itulah kaedah atau langkah yang berjaya mengelakkan masalah kewangan dalam kalangan pemain mahupun staf.

Selain itu, beliau juga menitikberatkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi. Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Tuan Yang Terutama (TYT) adalah antara inisiatif yang diambil untuk mencungkil bakat baharu dan memastikan kesinambungan prestasi cemerlang pasukan di masa hadapan.

Nur Azmi juga telah melantik jurulatih berpengalaman, K. Devan, untuk membimbing Melaka FC. Di bawah bimbingan beliau, pasukan ini telah mempamerkan taktikal yang mantap dan disiplin tinggi di atas padang, faktor penting dalam mencapai kejayaan musim ini.

Melalui kepimpinan beliau, infrastruktur bola sepak di Melaka juga telah dipertingkatkan. Stadium Hang Jebat telah dinaik taraf dengan kemudahan moden, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pemain dan penyokong.

Kejayaan Melaka FC musim ini bukan sahaja mengharumkan nama negeri tetapi juga menjadi inspirasi kepada pasukan lain. Ia membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang berwawasan dan komitmen tinggi, kejayaan dapat dicapai walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Kini, Nur Azmi telah membuktikan bahawa transformasi dalam bola sepak memerlukan strategi yang komprehensif, meliputi aspek pengurusan, pembangunan bakat, dan hubungan dengan komuniti. Kepimpinan beliau telah membawa era kegemilangan baharu kepada bola sepak Melaka, meletakkan asas kukuh untuk kejayaan yang berterusan di masa hadapan.

Sementara itu, penyokong-penyokong Melaka FC dijemput hadir ke aksi terakhir Liga A1 Semi-Pro MBSB Championship 2024/2025 di antara Melaka FC menentang Machan FC di mana cabutan bertuah menanti penonton-penonton yang berada di Stadium Hang Jebat malam esok.-UTUSAN