EPMB, Sanly China, Jujin Chin pertingkat komponen automotif 

Perniagaan

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB), penyedia penyelesaian automotif jalin dua usaha sama strategik dengan Sanly China dan Jujin China, menandakan langkah penting dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran komponen utama automotif di peringkat tempatan bagi Proton Saga MC3. 

Kerjasama ini menegaskan komitmen EPMB dalam memperkukuh keupayaan pembuatan automotif Malaysia sambil memastikan kecekapan kos dan kualiti tinggi kepada pengeluar peralatan tulen (OEM).  

Melalui anak syarikatnya, PEPS-JV (M) Sdn. Bhd., EPMB telah memeterai usaha sama dengan Sanly China bagi memulakan pengeluaran tempatan modul penjuru hadapan, modul sub-rangka dan pemasangan gandar belakang untuk Proton Saga MC3. 

Perjanjian yang ditandatangani pada 18 Februari lalu menggabungkan teknologi kerja logam maju Sanly China dengan operasi sedia ada EPMB di Batang Kali, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan agar lebih teguh dan cekap.  

Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon berkata, usaha sama ini adalah lonjakan strategik bagi EPMB. 

“Dengan menggabungkan kepakaran Sanly dalam kerja logam canggih serta keupayaan pembuatan tempatan kami, kami menetapkan penanda aras baharu dalam pembekalan komponen automotif. 

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kami terhadap inovasi, kualiti dan pertumbuhan strategik,” katanya dalam kenyataan. 

Dengan memanfaatkan kepakaran Sanly China, EPMB menyasarkan untuk menyampaikan model harga yang kompetitif dan kos luar-kilang yang dioptimumkan, menyediakan OEM dengan peningkatan kecekapan kos dan jaminan kualiti.

Dalam perkembangan lain, EPMB turut menjalin kerjasama dengan Jujin China untuk menghasilkan kerusi kereta Proton secara tempatan pada 21 Februari lalu.

Katanya, usaha ini adalah hasil kerjasama bertahun-tahun antara kedua-dua pihak yang berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan komitmen bersama terhadap inovasi.

Pakatan strategik ini mengukuhkan kedudukan EPMB sebagai penyedia penyelesaian automotif utama dalam industri. 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, penggabungan kepakaran global Jujin dalam reka bentuk serta pengeluaran kerusi dengan keupayaan pembuatan tempatan EPMB akan meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kos, dan menjamin keuntungan jangka panjang. 

Katanya, perbincangan sedang dijalankan bagi memperluaskan kerjasama ini ke model Proton lain dan berpotensi melibatkan kenderaan Geely, sekali gus memperluaskan jangkauan pasaran EPMB.  

“Ini bukan sekadar pengembangan keupayaan pembuatan kami ia adalah transformasi minda perniagaan,” katanya. 

Dengan hubungan erat bersama Geely dan OEM China lain, pengintegrasian Sanly dan Jujin ke dalam rantaian bekalan EPMB menjadi faktor perubahan besar. 

Melalui kerjasama ini, EPMB mendapat akses terus kepada ekosistem pembuatan maju di China, sekali gus merevolusikan struktur kos dan menetapkan penanda aras baharu bagi kecekapan operasi. 

Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan sokongan EPMB terhadap Proton tetapi juga membuka peluang bagi pengembangan ke OEM lain serta pasaran eksport, mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam industri automotif global.-UTUSAN