PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) bernilai RM109,800 kepada Pusat Koreksional Kamunting, Jabatan Penjara Malaysia.
Sumbangan yang berjumlah RM99,800 ini merangkumi RM75,600 bagi pembelian 18 ekor lembu baka betina, RM14,400 bagi pembelian dua ekor lembu baka Jantan, RM9,800 bagi penganjuran Kursus Penternakan Lembu dan SOP Ternakan Lembu serta RM10,000 diperuntukkan bagi sumbangan penyelenggaraan surau Pusat Koreksional Kamunting.
Seramai 15 orang prospek di Pusat Koreksional Kamunting telah mengikuti kursus ini, yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pengendalian ladang ruminan dan ternakan haiwan herbivor.
Kursus ini turut membolehkan peserta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk membina kehidupan lebih baik selepas tempoh pemulihan.
Majlis penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa selain menjalankan tanggungjawab pengawalseliaan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001, SSM turut komited dalam membantu golongan yang memerlukan menerusi agihan Wakalah Zakat Korporat (WZK) dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang selari dengan nilai teras Malaysia MADANI, iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam masyarakat.
“Program pada hari ini merupakan contoh terbaik bagaimana kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk kerajaan, agensi swasta, institusi koreksional dan masyarakat umum, dapat membantu mereka yang memerlukan untuk memajukan diri ke arah masa depan yang lebih baik terutamanya melalui sokongan ke arah menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan peserta.”
“SSM berharap sumbangan dan kursus yang disediakan dapat membekalkan kemahiran praktikal kepada semua prospek serta memperkukuhkan program pemulihan yang dikendalikan oleh Pusat Koreksional Kamunting,” katanya.
Sejak 1 Januari hingga 31 Disember 2024, SSM telah mengagihkan lebih RM7.4 juta melalui dana Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 11,242 penerima asnaf di seluruh negara.
Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah menyumbangkan lebih RM535,000 menggunakan dana CSR kepada 932 penerima yang memerlukan.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke [email protected]. – UTUSAN