Cara halus ‘singkir’ orang Melayu – Noh

Politik

SHAH ALAM: Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) didakwa bakal menyebabkan penduduk di kawasan penempatan seperti rumah pangsa atau projek perumahan rakyat (PPR) kehilangan tempat tinggal atau berterusan terbeban dengan kos sara hidup di bandar.

Ini kerana, penggubalan dasar tersebut bakal menyebabkan penghuni rumah pangsa dan PPR majoritinya adalah golongan B40 terpaksa berdepan dengan yuran penyelenggaraan perumahan baharu yang tinggi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar menyifatkan RUU PSB sebagai cara paling halus bagi menyingkirkan golongan tersebut yang hampir keseluruhannya adalah orang Melayu untuk meninggalkan kawasan bandar.

Beliau berkata, sekiranya RUU tersebut diluluskan dan ia dikuatkuasakan, orang Melayu akhirnya akan kembali pulang ke kampung kerana tidak mampu berdepan dengan yuran penyelenggaraan perumahan mereka.

“Seperti di Lembah Subang 1, di atas tanah kira-kira 30 ekar dan ada 3,000 unit rumah. Bayangkan di atas tanah tersebut mereka (kerajaan) hendak bangunkan rumah baharu, mereka boleh memberikan dua tawaran kepada penghuni, pertama memberi ganti rugi.

“Rumah PPR harganya dahulu sekitar RM35,000. Jadi, dia (kerajaan) boleh ganti rugi (pampasan) sampai RM300,000. Ke mana penghuni hendak membeli rumah baharu yang ada di dalam bandar?

“Kalau mereka tinggal di kondominium, yuran penyelenggaraannya tertakluk akta,” katanya. – UTUSAN