PDRM FC sedia beri Selangor FC kejutan

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali PDRM FC, P. Maniam percaya tekanan kini lebih terarah kepada Selangor FC berbanding pasukannya menjelang final kedua Piala Cabaran 2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Katanya, beberapa tonggak Selangor iaitu Alvin Fortes, Ronnie Fernandez, Yohandry Orozco dan Ali Olwan tidak boleh dibiarkan bergerak bebas jika PDRM FC berhasrat mencipta keputusan positif pada perlawanan itu.

“Saya yakin, pasukan kami akan bangkit dengan taktikal yang lebih baik pada final kedua nanti. Kami akan manfaatkan sepenuhnya tempoh 90 minit terakhir untuk beraksi habis-habisan dan mendapatkan kemenangan.

“Jika semua pemain PDRM yang diturunkan nanti dapat memberikan sepenuh komitmen, saya yakin kita boleh menewaskan Selangor dan menjadi juara.

“Setiap pemain PDRM perlu mengikut perancangan kita dan berusaha melaksanakan tugas masing-masing pada tahap maksimum, tiada masalah untuk menghadapi perlawanan dan seterusnya mendapatkan kemenangan.

“Memang kita perlu beri perhatian khusus kepada beberapa pemain Selangor seperti Fortes, Orozco dan Olwan. Pemain-pemain ini tidak boleh dibiarkan bebas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sang Saka Biru ketinggalan satu gol selepas tewas 3-2 pada perlawanan akhir pertama namun peluang mereka masih belum tertutup untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.

Untuk rekod, saingan musim lalu menyaksikan PDRM FC menang 4–1 secara agregat menentang Kuching City di perlawanan akhir bagi merangkul gelaran Piala Cabaran 2023.-UTUSAN