KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh pasangan beregu lelaki negara layak beraksi dalam Kejohanan Badminton All England 2025 pada 11 hingga 16 Mac depan.
Penyertaan pada edisi kali ini merupakan antara yang terbesar dalam sejarah negara bagi kategori beregu lelaki di kejohanan tertua dalam kalender badminton dunia itu.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menyifatkan kehadiran ramai wakil Malaysia sebagai satu kelebihan yang mampu memberi impak besar.
“Malaysia akan menghantar tujuh pasangan beregu lelaki ke Seluruh England tahun ini, satu jumlah yang cukup besar dan akan membantu pemain dalam persiapan mereka.
“Dengan jumlah pemain yang ramai, saya yakin mereka dapat membuat persediaan lebih baik untuk menghadapi lawan dari negara lain,” kata Herry.
Pasangan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan beraksi di kejohanan itu ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Manakala, tiga pasangan profesional terdiri daripada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Bagaimanapun, Herry tidak dapat menemani pasukan ke Birmingham kerana masih belum memperoleh visa dan jurulatih beregu lelaki negara, Muhammad Miftakh akan mengambil alih tugas membimbing pemain sepanjang kejohanan berlangsung.
Mengenai peluang Aaron-Wooi Yik, Herry optimis tetapi mengakui mereka masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan program latihan baharu.
“Peluang tetap ada, tetapi saya melihat persiapan mereka masih belum berada di tahap terbaik. Aaron dan Wooi Yik masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kaedah latihan saya,” katanya.-UTUSAN