Ken Nee pengarah teknikal baharu skuad terjun?

Sukan

PETALING JAYA: Nama bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee kini semakin hampir untuk diumumkan sebagai sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan.

Difahamkan, Ken Nee bakal menandatangani kontrak sebelum hujung Mac ini untuk mengisi jawatan berkenaan, namun tiada pengesahan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Menguatkan lagi spekulasi itu, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low mengesahkan Ken Nee adalah satu-satunya calon untuk mengisi posisi berkenaan.

Jawatan berkenaan kini kosong selepas Bryan Nickson Lomas meletakkan jawatan bulan lalu kerana ‘dipancing’ oleh pasukan luar negara dengan tawaran gaji lumayan.

“Pengarah teknikal baharu masih belum menandatangani kontraknya kerana kami sedang menunggu kontraknya dimuktamadkan oleh MSN.

“Diharapkan kontrak itu akan siap untuk ditandatangani minggu depan dan kami boleh membuat pengumuman. Kami harap semuanya diselesaikan sebelum akhir bulan ini,” kata Andy.

Dalam pada itu, spekulasi Ken Nee dengan jawatan berkenaan juga bertiup kencang selepas beliau melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Ken Nee, 39, adalah antara perintis sukan terjun negara dan mula mencipta nama sejak Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Beliau mencatat sejarah sebagai penerjun lelaki pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal dan 10m platform di Sukan SEA Brunei 1999.

Selain itu, beliau turut meraih pingat perak dalam acara individu 1m papan anjal di Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Ken Nee juga muncul penerjun lelaki pertama negara layak ke final Olimpik dalam acara 3m papan anjal di London 2012.

Selepas bersara, beliau menceburi bidang kejurulatihan dan kini bersedia untuk kembali menyumbang kepakarannya kepada skuad kebangsaan.

Terdahulu, peletakan jawatan Bryan selepas hanya 15 bulan bersama MAS benar-benar mengejutkan komuniti sukan terjun, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai hala tuju baharu sukan itu di peringkat kebangsaan.

Sepanjang tempoh singkatnya bersama MAS sejak Oktober 2023, Bryan memperkenalkan beberapa inisiatif penting termasuk sistem Skor Kelayakan Minimum (MQS) untuk memastikan hanya penerjun berkualiti dihantar ke kejohanan antarabangsa.-UTUSAN