KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang bersama gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) akan memberikan tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua BPN bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Tan Sri Presiden parti juga mengingatkan agar setiap jentera pilihan raya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan memperkukuhkan parti di setiap bahagian dan cawangan.
“BPN negeri akan memberikan tumpuan bagi menghadapi PRU16 dan memperkukuh parti serta kerjasama dengan rakan gabungan PN di Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada 7 Februari lalu, Abdul Khalid menerima watikah pelantikan Ketua BPN Bersatu Pahang daripada Muhyiddin bagi menggantikan Datuk Seri Saifuddin Abdullah manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul dilantik Timbalan Ketua BPN Bersatu negeri.
Abdul Khalid dalam pada itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Muhyiddin yang memberi kepercayaan kepadanya menggalas amanah sebagai Ketua BPN Bersatu Pahang.
Sementara itu, Timbalan Ketua BPN Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaluddin turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas lantikan itu dan memberi kepercayaan kepadanya untuk berganding bahu dengan Abdul Khalib.
“Fokus utama kami sekarang untuk bersama-sama rakan dalam PN menghadapi PRU16. Untuk itu, gerak kerja akan dilakukan bagi menyusun bahagian-bahagian Bersatu di Pahang dan bekerja bersama ketua-ketua bahagian sebagai satu pasukan yang dapat menarik sokongan rakyat bagi mencabar dominasi kerajaan negeri.
“Insya-Allah saya dan Abdul Khalib akan memperincikan langkah-langkah gerak kerja dan hala tuju yang jelas dalam mesyuarat BPN Bersatu Pahang yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Ini juga selari hala tuju PN Pahang untuk menerajui kerajaan Pahang dalam PRU16 akan datang,” katanya. – UTUSAN