MELAKA: Melaka FC memastikan status juara Liga Semi-Pro A1 diraikan dengan penuh bergaya apabila membelasah wakil dari Sibu, Sarawak, Macan FC 7-2 dalam perlawanan terakhir Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship musim 2024/2025 di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.
Kemenangan itu sekadar melengkapkan jadual perlawanan selepas Melaka FC lebih awal dinobatkan selaku juara Liga A1 meraih kemenangan ke-22.
Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Rustam menyampaikan piala Liga A1 bersama Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru dilantik Datuk Joehari Ayub.
Kemenangan itu juga membolehkan skuad bimbingan K. Devan menerima hadiah RM100, 000 dan piala pusingan.
Kemenangan ke atas Macan FC membolehkan Melaka FC mengutip 68 mata daripada 28 perlawanan, lima seri dan hanya tewas sekali 0-1 kepada PT Athletic FC.
Kemenangan yang dirakamkan tuan rumah menyaksikan pemain import dari Ghana, Fuseini Issah meledak hatrik pada minit ke-19, 22 dan 44.
Bagaimanapun, tuan rumah yang bersemangat dikejutkan dengan gol awal Macan FC menerusi pemainnya, Haziq Shah Putra Zulkafli pada minit ke-12.
Melaka FC tidak menunggu lama apabila Mohd. Fakrullah Rosli menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan cantik pada minit ke-19.
Tuan rumah terus unggul apabila Fuseini menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-22, dia menambah jaringan peribadi keduanya pada ke-33.
Dua minit sebelum tamat babak pertama Fuseini melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-43 menjadikan kedudukan 4-1.
Tuan rumah terus unggul apabila ketua pasukan Nashir Basharuddin menjaringkan gol kelima pada minit ke-53 dan pada minit ke-66 Mohd. Nizaruddin Jazi menambah gol keenam.
Pelawat memperolehi gol kedua menerusi Haziq Shah Putra pada minit ke-89 dan Melaka FC menutup jaringan ketujuh menerusi Nashir pada minit ke-90.-UTUSAN