Selangor tamat kemarau kejuaraan

Sukan

PETALING JAYA: Selangor FC menamatkan kemarau piala apabila berjaya menjulang Piala Cabaran selepas menumpaskan PDRM FC secara agregat 7-0.

Dalam aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi menang 4-0.

Kesilapan PDRM FC menurunkan pemain yang digantung perlawanan pada aksi pertama menyebabkan Selangor dihadiahkan kemenangan 3-0.

Biarpun berkelebihan tiga jaringan, Selangor tidak berada di kedudukan selesa pada aksi kedua apabila mendapat gol seawal minit keempat menerusi Ali Olwan.

Pemain Selangor, Ali Olwan (tengah), diasak pemain-pemain PDRM pada perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2025 menentang PDRM, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

Gol berkenaan memberi semangat kepada Gergasi Merah apabila Yohandry Orozco menambah derita PDRM pada minit kesembilan.

Malang menimpa PDRM apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit kesembilan-21 selepas Eizrul Ashraf Nor Effendy dilayangkan kad merah hasil semakan video bantuan pengadil (VAR).

Situasi itu memudahkan lagi Selangor merobek gawang PDRM apabila Ronnie Fernandes meledak gol ketiga menerusi tandukan pada minit ke-30.

Separuh masa pertama berakhir dengan jaringan 3-0 dan bersambung babak kedua PDRM cuba mengawal permainan, namun berjaya di kawal kemas oleh barisan pemain Selangor.

Pada 10 minit terakhir perlawanan, Orozco meledak hol kedua peribadi bagi melengkapkan kemenangan bergaya Selangor secara agregat 7-0.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor memenangi trofi adalah Piala Malaysia 2015 ketika menewaskan Kedah 2-0 pada final di Stadium Shah Alam.-UTUSAN