KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors (KRW) mengesahkan pihaknya sedang mengintai bekas pemain kebangsaan dan senior yang kini sedang beraksi dalam di Liga Malaysia (Liga M) dalam usaha memperkemas serta memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, bagaimanapun pemilihan pemain itu akan dilakukan oleh pengendali pasukan Irfan Bakti Abu Salim yang diberikan kuasa penuh untuk membuaty pertimbangan.
“Berapa ramai dan siapa pemain senior yang bakal dibawa masuk adalah keputusan ketua jurulatih. Irfan Bakti mempunyai kuasa penuh dalam pemilihan pemain dan kami di bahagian pengurusan tidak campur tangan.
“Insya-Allah akan ada pemain-pemain senior dibawa masuk bagi mengisi setiap posisi dalam pasukan tetapi kita belum boleh sebut sebarang nama kerana mereka masih terikat dengan kontrak bersama pasukan masing-masing,” katanya ketika ditemui di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini semalam.
Nik Hafiz memberitahu, senarai penuh skuad KRW hanya akan dimuktamadkan pada Mei nanti termasuk barisan penaja.
Dalam perkembangan lain, Nik Hafiz Naim berharap kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada ketika ini dapat diselesaikan dengan segera demi kelangsungan pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Kemelut itu tidak menjejaskan KRW sebagai kelab swasta tetapi kami tetap terkilan apabila ia menyebabkan pembangunan bola sepak di Kelantan terbantut. Natijahnya, kita tidak dapat hantar pasukan ke Liga Futsal Malaysia, Piala Presiden dan Piala Belia.
“Saya ada berbincang dengan KAFA dan dimaklumkan kemelut ini mungkin akan mengambil masa lama untuk diselesaikan kerana ia kini berada dalam perhatian Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias dan mungkin terpaksan melalui perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan,” ujarnya.-UTUSAN