Aisyah tuai perak acara perlumbaan mata

Sukan

NILAI: Pelumba basikal trek negara, Nur Aisyah Zubir, mencipta kejutan apabila berjaya meraih pingat perak  dalam acara perlumbaan mata wanita elit pada kejohanan berbasikal Asia(ACC) 2025 di Velodrome Nasional, Nilai.

Dalam saingan sengit itu, Aisyah mempamerkan kayuhan bertenaga serta strategi bijak untuk mengumpul 20 mata , sekali gus menempatkan dirinya di kedudukan kedua.

Kejayaan tersebut menyaksikan beliau menewaskan beberapa pelumba handalan dunia serta  membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya meraih pingat perak dalam acara ini. Saya sendiri tidak menyangka akan berada di podium kerana perlumbaan ini sangat mencabar dengan 100 pusingan dan setiap 10 pusingan ada pecutan.

“Ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental saya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Pelumba berusia 27 tahun itu berkata, momentum kejayaannya bermula selepas pusingan ke-60 apabila beliau menyedari kedudukannya berada di tempat ketiga dengan hanya satu mata di belakang   pelumba di tempat kedua.

Keyakinannya semakin meningkat apabila berjaya mengutip mata penting dalam pecutan seterusnya.

Bagaimanapun, usaha untuk memburu emas terhalang selepas pelumba Jepun melakukan serangan mendadak di penghujung perlumbaan.

Walaupun cuba mengejar, beliau mengakui  telah mengerah sepenuh tenaga, namun tetap berpuas hati dengan pencapaian ini.

Pingat emas acara tersebut menjadi milik pelumba Jepun, Maho Kakita dengan kutipan 44 mata manakala gangsa diraih pelumba  Uzbekistan, Nafosat Kozieva dengan 19 mata.

Secara keseluruhan, Aisyah berjaya mengumpulkan  dua pingat perak pada ACC kali ini  melalui acara perlumbaan mata dan Scratch wanita elit.-UTUSAN