Kumpulan BA, YTL kerjasama bangun infrastruktur gentian

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Penyedia infrastruktur telekomunikasi, Kumpulan Bullish Aim (BA), memeterai kerjasama dengan YTL Communications Sdn. Bhd. bagi membangunkan infrastruktur gentian optik generasi akan datang.

Kerjasama itu bertujuan memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan sambungan dan data berkelajuan tinggi.

YTL Communications dan Kumpulan BA dalam satu kenyataan bersama berkata, kerjasama tersebut akan melibatkan penggunaan rangkaian gentian optik yang direka khusus untuk meningkatkan keupayaan penghantaran data.

Menurutnya, pada masa ini, tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur di Johor, dengan kerja-kerja dijadualkan bermula pada suku pertama 2025. Setelah siap, ia dijangka akan menyediakan liputan di kawasan perbandaran utama di negeri tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Communications, Datuk Seri Yeoh Seok Hong memberitahu, Johor menjadi hab utama bagi pusat data dan kerjasama berkenaan akan menyaksikan pembinaan infrastruktur komunikasi yang diperlukan untuk menyokong ekonomi digital yang berkembang pesat.

Jelasnya, ia sekali gus merangsang pertumbuhan yang pesat dan memanfaatkan teknologi serta perkhidmatan digital yang terkini.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dalam menyediakan sambungan yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi, dari Johor ke setiap pelusuk negara dan ke seluruh dunia,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan Kumpulan BA, Datuk Lion Peh pula, perkongsian itu bertujuan untuk mewujudkan infrastruktur gentian optik yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan data, tetapi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa digital utama di Asia Tenggara. – UTUSAN