JDT hampiri rekod Tafea FC, tahun ke-11 Harimau Selatan dominasi Liga Super

Sukan

MENEPATI ramalan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan dominasi mereka di Liga Super Malaysia apabila menewaskan Perak 2-0 dan kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan melakar kejuaraan ke-11 berturut-turut.

Kali pertama JDT mula bergelar juara Liga Super adalah pada musim 2014 dan sejak daripada itu, skuad Harimau Selatan memegang erat gelaran berkenaan sehingga kejuaraan terbaharu adalah musim 2024-25.

Rekod dilakar itu menyaksikan JDT semakin mendekati rekod kelab Vanuatu, Tafea FC yang memegang gelaran liga selama 15 tahun bermula 1994 hingga 2008/2009.

Tafea FC dari Vanuatu merupakan kelab dengan rekod menjuarai liga terlama di dunia iaitu 15 musim berturut-turut di mana pencapaian mereka itu dianggap terbaik dalam dunia bola sepak global dan sukar untuk dipadamkan.

Begitupun, rekod berkenaan dijangka mampu dipadamkan oleh skuad Harimau Selatan dengan syarat mereka perlu bertahan lima musim lagi untuk mencapai angka 16 kejuaraan berturut-turut.

Persoalannya; Adakah Harimau Selatan mampu terus memonopoli Liga Super sehingga 2028?

Jika melihat perancangan, perkembangan dan struktur JDT dibawah pimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pencapaian berkenaan mampu dicapai sekali gus rekod Tafea FC bakal terpadam tidak lama lagi.

Selain JDT, kelab Bulgaria, Ludogorets Razgrad antara pasukan yang boleh menyamai rekod milik Tafea FC selepas konsisten memenangi gelaran liga domestik bermula 2012 sehingga sekarang (13 gelaran) dan Istiqlol Dushanbe (Tajikistan) yang berjaya menjulang 11 kali gelaran liga domestik sejak 2014 menyaksikan skuad Harimau Selatan kini di tangga ketiga global dengan meraih 11 trofi berturut-turut.

Sejak Tunku Mahkota Ismail mengambil alih JDT pada 2013, kelab ini bertukar daripada pasukan biasa menjadi ‘mesin’ trofi di mana baginda melabur bukan sahaja melibatkan pemain, tetapi juga infrastruktur, akademi dan pemasaran global.

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim menjadi watak utama kejayaan JDT.

Hasilnya JDT kini sinonim dengan profesionalisme bola sepak Asia Tenggara.

Dalam saingan tempatan tiada pasukan yang mampu konsisten seperti JDT. Malah, sejak 2014, JDT hanya kalah 12 perlawanan liga di mana statistik cukup menakutkan.

Persoalan sekarang iaitu halangan terbesar JDT: Adakah mereka akan bosan menang? Psikologi menjadi cabaran utama dan pemain perlu kekal motivasi walaupun sudah mendominasi.

Namun, penulis melihat berdasarkan prestasi dan motivasi semasa mereka, JDT sentiasa laparkan kejayaan.

Mampukah JDT memecahkan rekod Tafea FC? Dengan disiplin, pelaburan berterusan dan sokongan padu penyokong, JDT berpotensi mencipta sejarah bukan sahaja untuk Malaysia tetapi dunia. Tunggu sahaja, tahun 2028 akan menjadi saksi.

Fikirkan ini, jika JDT berjaya, mereka bukan sekadar juara tetapi legenda yang mengubah landskap bola sepak Asia.

Apa yang pasti, Tunku Mahkota Ismail telah membuktikan diri baginda sebagai pemimpin yang berjiwa kental dan berwawasan jauh.

Dengan tekad yang tidak berbelah-bahagi, baginda mengorbankan masa, tenaga dan sumber demi mengangkat nama JDT ke persada antarabangsa.

Setiap keputusan yang diambil mencerminkan kesungguhannya untuk menjadikan kelab ini bukan sekadar juara tempatan tetapi simbol kecemerlangan sukan Asia dan global.

Jiwa kompetitifnya menjadi pendorong utama transformasi JDT sejak mula memegang tampuk kepimpinan.

Salah satu nilai teras Tunku Mahkota Ismail ialah sikapnya yang tidak pernah cepat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

Walaupun JDT telah merangkul pelbagai trofi seperti Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih dalam tempoh lama namun baginda sentiasa menetapkan sasaran yang lebih tinggi.

Setiap kejayaan dianggap sebagai batu loncatan untuk mencipta legasi lebih besar.

Misalnya, kejayaan JDT di pentas Piala AFC 2015 tidak membuatkannya berhenti berusaha. Sebaliknya, beliau terus mendesak pasukan agar bersaing di peringkat lebih kompetitif seperti Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), membuktikan tiada batasan untuk merebut kejayaan.

Komitmen Tunku Mahkota Ismail turut tercermin melalui pembangunan infrastruktur bertaraf dunia.

Beliau tidak lokek melabur dalam kemudahan seperti Stadium Sultan Ibrahim yang moden, pusat latihan berteknologi tinggi dan akademi belia yang sistematik.

Semua ini dibangunkan demi memastikan JDT setanding dengan kelab elit Eropah atau Asia.

TUNKU Mahkota Ismail

Bagi Tunku Mahkota Ismail, kejayaan jangka panjang memerlukan asas kukuh dan setiap fasiliti dibina dengan teliti untuk melahirkan pemain berkualiti serta meningkatkan prestasi pasukan.

Baginda juga menekankan budaya profesionalisme dan disiplin dalam setiap lapisan pengurusan JDT serta sering terlibat secara langsung dalam operasi harian kelab bagi memastikan setiap perinci seperti latihan, pemakanan, dan analisis taktikal dilaksanakan dengan sempurna.

Sikapnya yang ‘hands-on’ ini menanamkan semangat tanggungjawab dalam diri pemain dan staf, sekali gus membentuk identiti JDT sebagai pasukan yang tidak hanya berbakat tetapi memiliki mentaliti juara.

Legasi Tunku Mahkota Ismail sebagai pemilik JDT pasti akan dikenang sebagai contoh teladan kepimpinan berprinsip dan berdaya tahan.

Walaupun telah mencapai begitu banyak kejayaan, semangatnya tetap membara seperti hari pertama.

Impiannya untuk melihat JDT diiktiraf sebagai kelab terbaik Asia dan dunia terus menjadi pendorong, membuktikan bahawa ‘kelaparan’ terhadap kejayaan tidak pernah padam selagi ada kesungguhan mengorbankan jiwa raga.

Dengan Tunku Ismail di barisan hadapan, masa depan JDT tidak hanya cerah tetapi penuh dengan kemungkinan tanpa batas.

Akhir kata daripada penulis, daripada kelab biasa menjadi legenda Asia, JDT adalah bukti impian Tunku Mahkota Ismail menjadi nyata. Daulat Tuanku!-UTUSAN