Manfaat ilmu proses herba perluas perniagaan

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Tradisi turun temurun yang diamalkan dalam ilmu pembuatan herba bagi tujuan penjagaan kesihatan, seorang usahawan mengambil inisiatif untuk melebarkan perniagaan tradisinya itu dalam bentuk yang lebih moden diamalkan pengguna.

Pengasas Hana Samudera, Norliza Md. Dewa berkata, amalan tersebut yang disifatkan sebagai rawatan alternatif itu kini semakin mendapat perhatian masyarakat untuk mencegah penyakit-penyakit kronik di samping mengekalkan kesihatan yang lebih baik.

“Ilmu pembuatan herba ini telah saya pelajari daripada ibu saya sejak 1998 dan perniagaan secara kecil-kecilan telah dimulakan pada ketika itu. Tujuan utama pembuatan herba ini sebenarnya adalah ingin memberi pendedahan mengenai perubatan herba tradisional yang boleh dijadikan sebagai rawatan alternatif masyarakat selain memberi kesihatan yang baik kepada pengguna.

“Dengan usaha kecil-kecilan ini akhirnya kami mampu membuka Syarikat Lyzaa Beauty Sdn. Bhd dan meluaskan perniagaan Hana Samudera di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Antara tumbuhan herba yang digunakan untuk menghasilkan produk Hana Samudera ini adalah seperti cekur, kunyit, halia, temu lawak, dan manjakani.

Jelas Norliza, tumbuhan ini dijamin bermanfaat untuk mengubati berbagai penyakit dalaman seperti sembelit dan baik untuk ibu selepas bersalin serta ulser dalam perut juga dapat diperbaiki.

“Tumbuhan ini juga diadun ramuan campuran supaya mendapat pati yang sebati untuk diminum atau dibuat dari pati sachet untuk memudahkan pengguna dan boleh dinikmati dengan segera.

“Malah produk pembuatan herba ini juga mampu memberi tenaga yang berpanjangan sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau berusaha untuk meluaskan pasarannya ke peringkat yang lebih tinggi untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Kegunannya bukan sahaja untuk golongan wanita, tetapi lelaki juga boleh mengamalkannya bagi menjaga kecantikan secara tradisional melalui herba botanikal,” ujarnya,” ujarnya. – UTUSAN