PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM305 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (tahun kewangan 2025), berbanding RM2.3 bilion yang dicatatkan pada suku kedua tahun sebelumnya.
Ia turut mengambil kira keuntungan RM2 bilion yang diraih daripada pelupusan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH).
Menurut kenyataan, pendapatan yang dilaporkan bagi suku tahun dikaji meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada RM17.7 bilion, berbanding RM15.5 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
“Untung bersih teras bagi suku tahun ini berjumlah RM305 juta, iaitu peningkatan 13.4 peratus berbanding RM269 juta pada suku tahun yang sama tahun lepas.
“Prestasi kumpulan dipacu terutamanya oleh bahagian UMW, yang menyumbang keuntungan sebelum faedah dan cukai berjumlah RM272 juta menerusi jualan kenderaan Perodua yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Pada suku kedua yang dilaporkan, untung sebelum faedah dan cukai bahagian perindustrian menurun sedikit sebanyak 4.0 peratus kepada RM337 juta.
Sime berkata, operasi Australasia mencatatkan keuntungan lebih rendah terutamanya disebabkan oleh kesan penurunan harga alat ganti yang timbul akibat kemerosotan dolar Australia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Namun, sumbangan lebih tinggi daripada operasi Malaysia dan Singapura telah membantu mengurangkan kesannya.
“Bahagian automotif melaporkan untung sebelum faedah dan cukai sebanyak RM118 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025 disebabkan jualan kenderaan lebih rendah di Malaysia dan Australasia, yang diimbangi oleh jualan kenderaan elektrik (EV) lebih tinggi di Singapura.
“Untuk tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025, kumpulan mencatatkan untung bersih berjumlah RM1.1 bilion, iaitu peningkatan 32.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, tidak mengambil kiraoperasi kumpulan yang dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, walaupun keputusan kumpulan tetap memberangsangkan berbanding tahun lalu, keadaan pasaran semakin mencabar dan situasi mungkin menjadi lebih sukar.
“Operasi kami di China terus dibelenggu persaingan sengit menyebabkan margin lebih rendah. Pasukan kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan, mengurus kos dan meningkatkan kecekapan menerusi penambahbaikan pusing ganti inventori yang menghasilkan aliran tunai operasi yang lebih tinggi,” katanya.
Sejajar dengan komitmennya untuk menambah nilai bagi pemegang saham, Sime mengumumkan dividen interim tiga sen sesaham dan dividen khas satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. – UTUSAN