Shahidan sangkal dakwaan berlaku penyelewengan dana di KOM

Sukan

PETALING JAYA: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyangkal dakwaan kononnya berlaku salah laku kewangan membabitkan badan induk tersebut.

Shahidan yang merupakan ahli Parlimen Arau berkata KOM bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya dakwaan yang diberikan kepada badan induk itu adalah benar.

“KOM menyangkal tuduhan Datuk Fadzil A Bakar yang mendakwa KOM tidak lagi relevan. Ahli majlis KOM amat kesal, terkilan dan kecewa dengan tindakan yang dipamerkan oleh seorang ahli majlis KOM di media baru-baru ini. KOM menyangkal tuduhan yang dibuat berkaitan penyelewengan dana.

“Terdapat tuntutan daripada seorang ahli majlis yang menaja sebahagian kos program malam anugerah melalui syarikatnya. Tuntutan yang telah dikemukakan itu masih sedang proses semakan dan sehingga hari ini (semalam) tiada pembayaran dibuat oleh kesatuan.

“Untuk makluman, satu mesyuarat akan diadakan untuk meneliti isu ini dengan lebih mendalam dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti terdapat salah laku,” kata Shahidan ketika ditemui pemberita di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden KOM, Fadzil menggesa agar perubahan perlu segera dilakukan terhadap badan induk itu supaya kekal relevan malah mendakwa berlaku salah guna dana.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata KOM akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi pemilihan jawatankuasa tersebut yang perlu dibuat selewat-lewatnya pada 30 Jun ini.

“Saya akan maklumkan kemudian (sama ada mempertahankan jawatan atau sebaliknya). Sesiapa yang berminat untuk bertanding bagi jawatan presiden adalah dialu-alukan,” katanya. – UTUSAN