Petronas tidak akan buang pekerja

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memberi jaminan syarikat minyak negara itu tidak akan membuang pekerja atau ‘retrenchment’ walau kini dalam proses untuk mengecilkan operasinya.

Katanya, langkah pengecilan saiz organisasi didorong oleh perniagaan bagi memastikan operasi berjalan secara paling cekap.

Katanya, ia untuk memastikan operasi perniagaan kekal cekap di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

Tetapi beliau menegaskan, langkah itu bukan bermakna syarikat minyak dan gas negara itu akan melaksanakan pembuangan pekerja atau ‘retrenchment’.

Langkah itu katanya, untuk memastikan tenaga kerja sepadan dengan operasi yang dimahukan untuk kemapanan perniagaan dan kekal untung menuju ke depan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap operasi dan keperluan tenaga kerja semasa.

“Right-sizing (pengecilan saiz organisasi) bukan bermaksud ‘retrenchment’ (pembuangan pekerja besar-besaran), tetapi lebih kepada menyesuaikan tenaga kerja mengikut keperluan sebenar organisasi mengikut situasi semasa,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan Petronas bagi 2024 di sini, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata, rancangan itu penting itu untuk dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam jangka panjang tanpa menjejaskan kestabilan pekerja dan operasi.

Menurut beliau, syarikat minyak kebangsaan itu mempunyai sekitar 15,000 hingga 16,000 tenaga kerja di pelbagai jabatan termasuk fungsi sokongan, pusat operasi serta ibu pejabat.

Beliau menegaskan tiada pembuangan pekerja, sebaliknya PETRONAS sedang menilai keperluan tenaga kerja bagi memastikan organisasi lebih cekap. – UTUSAN