KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai (PAT) Petroliam Nasional Berhad (Petronas) susut 32 peratus kepada RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM80.7 bilion yang direkodkan pada 2023.
Bagi tempoh tersebut, Petronas melaporkan pendapatan berjumlah RM320 bilion, turun tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, disebabkan oleh harga purata direalisasikan yang lebih rendah, meskipun jumlah jualan lebih tinggi.
Penurunan itu sejajar dengan harga purata direalisasikan yang lebih rendah serta pelarasan cukai yang menguntungkan pada 2023 selain akibat realisasi tidak menguntungkan daripada rizab penukaran mata wang asing susulan pelupusan Engen Group.
Lembaga pengarah pada 24 Februari 2025 telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM320,000 sesaham biasa berjumlah RM32 bilion.
Kumpulan turut mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah pada RM114.1 bilion, selaras dengan keuntungan yang menurun.
Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM102.5 bilion, yang didorong terutamanya oleh EBITDA, manakala pelaburan modal (capex) sebanyak RM54.2 bilion, tertumpu kepada aktiviti di Malaysia.
Jumlah aset kumpulan pula bernilai RM766.7 bilion, manakala ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM451.2 bilion, terutamanya hasil daripada keuntungan yang direkodkan sepanjang tahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi kewangan Petronas pada 2024 kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran dan tekanan peraturan akibat perubahan geopolitik global.
“Keputusan yang stabil ini dicapai hasil daripada komitmen Kumpulan terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kepelbagaian portfolio.
“Ketika industri terus berdepan perubahan dinamik pasaran yang berlanjutan sehingga 2025, Petronas telah melaksanakan strategi transformasi bagi memperkukuh keupayaan dalam menjana nilai kepada pemegang saham dan pemegang taruh.
“Ini membekalkan tenaga kepada pelanggan serta memberikan impak positif kepada komuniti yang kami berkhidmat,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan Petronas 2024, di sini semalam.
Beliau berkata, Petronas akan menjadi lebih berorientasikan nilai, berdaya saing di peringkat global dan tangkas dalam menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
“Ini melalui disiplin ketat dalam peruntukan modal dan rasionalisasi kos, pengukuhan kerjasama serta model perkongsian baharu, selain kecemerlangan operasi dan komersial,” ujarnya. – UTUSAN