Kapasiti penggunaan industri pembuatan beroperasi dengan kadar 81.8 peratus

Perniagaan

PETALING JAYA: Kapasiti penggunaan industri pembuatan beroperasi dengan kadar 81.8 peratus pada tahun 2024, meningkat 2.4 mata peratus berbanding negatif 1.0 mata peratus pada tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kapasiti penggunaan industri pembuatan adalah 81.9 peratus pada suku keempat 2024, meningkat 2.0 mata peratus berbanding 79.9 peratus pada suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya.

“Pada suku tahun ini, semua subsektor mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus dengan kadar tertinggi direkodkan oleh subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka pada 84.7 peratus.

“Ini diikuti dengan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (83.4 peratus) serta kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (82.0 peratus).

“Bagaimanapun, berbanding suku tahun sebelumnya kapasiti penggunaan industri pembuatan mencatatkan penurunan yang kecil iaitu 0.5 mata peratus,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan tahun ke tahun dalam prestasi kapasiti penggunaan bulanan direkodkan sepanjang suku keempat 2024 yang mana Oktober 2024 (81.9 peratus, +1.5 mata peratus), November 2024 (82.2 peratus, +2.1 mata peratus) dan Disember 2024 (81.4 peratus, +2.2 mata peratus).

“Selain itu, faktor-faktor seperti permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi, pembaikan dan penyelenggaraan mesin serta kelengkapan kekal sebagai punca utama kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri pembuatan.

“Selain itu, kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat 2.4 mata peratus kepada 80.9 peratus berbanding 78.5 peratus pada suku keempat 2023.

“Pembuatan perabot mencatatkan kadar tertinggi iaitu pada 87.8 peratus, diikuti dengan pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. (86.9 peratus).

“Namun begitu, dua industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus iaitu pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (77.6 peratus) serta pembuatan kayu & produk kayu & gabus, kecuali perabot, pembuatan bagi artikel jerami dan bahan-bahan anyaman (76.9 peratus),” katanya.

Berbanding suku ketiga 2024, Uzir Mahidin berkata, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport menurun secara marginal sebanyak 0.9 mata peratus daripada 81.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik kekal positif walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.0 mata peratus kepada 83.9 peratus pada suku keempat 2024.

“Dua industri dalam segmen ini mencatatkan kadar kapasiti penggunaan tertinggi iaitu pembuatan produk tembakau (92.0 peratus) dan Pembuatan produk galian bukan logam lain (86.6 peratus).

“Sementara itu, kadar penggunaan kapasiti terendah dicatatkan oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 79.9 peratus dan diikuti oleh industri pembuatan kertas dan produk kertas dengan 79.0 peratus.

“Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik bertumbuh 0.1 mata peratus daripada 83.8 peratus pada suku ketiga 2024,” ujarnya.

Tambahnya, kadar kapasiti penggunaan industri pembuatan bagi tujuh buah negeri telah melepasi kadar nasional pada suku keempat 2024, iaitu WP Labuan (97.9 peratus), Johor (84.8 peratus), Pahang (84.6 peratus), Selangor (84.1 peratus), Melaka (84.0 peratus), Negeri Sembilan (83.2 peratus) dan Terengganu (82.8 peratus) manakala kadar kapasiti penggunaan terendah dicatatkan oleh negeri Perlis sebanyak 67.4 peratus dengan penurunan 5.3 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. – UTUSAN