KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) masih terbuka untuk bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros), namun masih menunggu keputusan daripada kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan sebelum mengambil langkah seterusnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas bukan sahaja melihat perkara ini dari sudut komersial tetapi juga aspek operasi fizikal.
“Keputusan yang bakal dibuat perlu memastikan kepentingan kerajaan negeri dan persekutuan dipenuhi, sambil mengekalkan keseimbangan pelaburan sedia ada di Sarawak.
“Sebagai agregator dalam industri tenaga, Petronas memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan operasi dan pelaburan.
“Sebarang perubahan dalam struktur kerjasama perlu diteliti dengan mendalam bagi mengelakkan impak negatif terhadap ekosistem tenaga negara,” katanya semasa sidang media Pengumuman Keputusan Kewangan Petronas di sini, semalam.
Menurut beliau, Sarawak merupakan antara hab utama bagi industri gas asli cecair (LNG) Malaysia, dengan kemudahan pemprosesan yang mempunyai kapasiti melebihi 30 juta tan setahun.
“Dengan penguasaan antara 15 hingga 20 peratus pasaran LNG di Jepun dan penghantaran lebih 13,000 kargo LNG setahun, pelaburan Petronas di Sarawak bukan sahaja memberi pulangan kepada syarikat tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
“Ekosistem LNG di Sarawak adalah antara yang paling kompetitif di rantau ini, dengan pulangan pelaburan yang stabil. Ia juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam sektor minyak dan gas,” katanya.
Mengulas mengenai risiko Sabah mengemukakan tuntutan kawalan sumber minyak dan gas negeri, beliau berkata, jika itu berlaku, Petronas perlu menilai kesannya terhadap keuntungan dan operasi syarikat dalam jangka panjang.
“Sebarang permintaan seperti ini bukan sesuatu yang mustahil, dan jika ia berlaku, kami perlu meneliti kesannya terhadap struktur industri tenaga negara serta keseimbangan pelaburan yang telah dibangunkan.
“Walaupun terdapat kelewatan dalam beberapa projek akibat perbincangan ini, keuntungan Petronas kekal kukuh dan kami yakin dapat memulakan operasi baharu seperti yang dirancang,” katanya.
Tambahnya, keutamaan Petronas adalah memastikan kesinambungan industri tenaga negara dan mengekalkan daya saing Malaysia dalam pasaran LNG global.
“Oleh itu, sebarang perubahan dalam pengurusan sumber perlu ditangani dengan strategi yang seimbang antara kepentingan negeri dan persekutuan,” katanya. – UTUSAN