KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo ASEAN 2025 menyasarkan potensi jualan sehingga RM700 juta.
Pameran itu akan berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2025 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), merupakan platform bagi pembekal untuk mempamerkan mesin, peralatan, alatan, dan teknologi bangunan terkini kepada pembeli perdagangan dalam sektor pembinaan dan bangunan di Malaysia serta di peringkat global.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, ICW Borneo 2025 akan diperluas ke Sarawak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 13 dan 14 Mei tahun ini.
“Buat pertama kali, ICW akan dipamerkan di Sarawak dengan bertemakan “Pembinaan inovatif untuk masa depan yang mampan”.
“Ia akan menumpukan kepada perkembangan pesat di Sarawak dan Sabah yang merangkumi projek pembinaan mega yang menyokong matlamat pembangunan mampan Malaysia dan ASEAN.
“Antara inisiatif utama termasuk pembangunan infrastruktur berskala besar serta penyelesaian tenaga boleh diperbaharui bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Sabah dan Sarawak,” katanya pada Majlis Pra-pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Yusuf Abd. Wahab berkata, ICW dan BuildXpo ASEAN 2025 mensasarkan hampir 17,000 pengunjung bagi kedua-dua pameran tahun ini.
“Dalam pada itu, ICW dan BuildXpo ASEAN 2025 turut mensasarkan hampir 500 reruai pameran dan 200 pempamer dari sembilan negara.
“Antara sembilan negara tersebut adalah China, Thailand, Indonesia, Singapore, Sepanyol, Australia, Vietnam dan Jepun.
“BuildXpo ASEAN 2025 juga akan menampilkan lima segmen utama iaitu teknologi pembinaan, bahan, peralatan, jentera, sistem dan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN