PETALING JAYA: Pusat Laktasi Kebangsaan di bawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia telah menganugerahkan Columbia Asia Hospital – Petaling Jaya (CAH-PJ) dengan Plak Emas Inisiatif Hospital Rakan Bayi (Baby-Friendly Hospital Initiative/BFHI).
Anugerah itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisma Awang Sauni kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan
Columbia Asia, Dr. Chan Boon Kheng.
“Kami amat berbesar hati atas anugerah ini,” kata Dr. Chan, sebaik menerima plak emas tersebut.
“Tidak dinafikan, penyusuan ibu memang terbaik dan patut menjadi nutrisi ekslusif untuk bayi yang baru lahir. Kami di CAH-PJ mengamalkan Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia secara bertulis yang disebarkan kepada semua kakitangan kami yang terbabit, serta melatih mereka supaya mahir dalam melaksanakan polisi ini,” katanya.
Inisiatif Hospital Mesra Bayi (BFHI) ini dilancarkan pada tahun 1991 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization/WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Untuk mencapai akreditasi BFHI ini, sesuatu hospital itu harus membuktikan kadar sekurang- kurangnya 75 peratus penyusuan ibu eksklusif di kalangan ibu-ibu selepas bersalin.
Kriteria-kriteria lain yang melayakkan CAH-PJ menerima Plak Emas BFHI, ialah memaklumkan setiap wanita hamil tentang faedah susu ibu sebelum mereka melahirkan, menggalakkan ibu-ibu memulakan penyusuan ibu dalam tempoh setengah jam selepas kelahiran termasuk meletakkan bayi dalam dakapan ibu dengan serta merta dan bersentuhan kulit selepas kelahiran untuk sekurang-kurangnya satu jam.
Selain daripada itu, kakitangan CAH-PJ juga membimbing ibu-ibu tentang cara menyusu dan cara mengekalkan pengeluaran susu ibu, tidak memberi sebarang makanan dan minuman selain susu ibu kepada bayi mereka (kecuali jika ada isu perubatan), mengamalkan konsep ‘rooming-in’ dimana ibu dan bayi sebilik setiap masa, dan tidak memberikan puting tiruan (pacifier/dummy) kepada bayi mereka yang menyusu.
Turut hadir di majlis ini Pengarah Bahagian Pemakanan dari KKM, Rusidah Selamat dan Ketua Pusat Laktasi Kebangsaan, Dr. Siti Maisarah Ahmad. – UTUSAN