KPKT teliti cadangan pelaksanaan Akta Penyewaan Kediaman

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti cadangan pelaksanaan Akta Penyewaan Kediaman yang bertujuan untuk mengatur perjanjian penyewaan secara adil, neutral dan tiada diskriminasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perundangan ini akan memperkenalkan mekanisme yang terstruktur untuk menyelesaikan pertikaian antara penyewa dan tuan rumah dengan efisien, memastikan kestabilan dan profesionalisme dalam pasaran sewa.

“Dengan menangani isu-isu biasa seperti terma sewa yang tidak adil dan hak penyewa, akta ini bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja yang seimbang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pemilik hartanah dan penyewa,” katanya kepada pemberita sempena Konvensyen Hartanah Tahunan Malaysia (MAREC) di sini hari ini.

Beliau juga menekankan keperluan mendesak untuk membendung pembahagian unit sewa secara haram, yang menimbulkan risiko keselamatan yang serius.

“Sebuah kedai telah dibahagikan secara haram kepada 75 bilik kecil dan tanpa pengudaraan yang betul dan keadaan yang bilik yang tidak sempurna,” katanya. 

Kor Ming memberi amaran kepada tuan rumah yang terlibat dalam amalan sedemikian bahawa mereka akan bertanggungjawab secara peribadi, menghadapi hukuman sehingga lima tahun penjara.

“Keselamatan awam adalah keutamaan utama kerajaan, ejen hartanah profesional digalakkan untuk melaporkan pembahagian haram kepada pihak berkuasa, mengukuhkan pendirian tegas KPKT terhadap amalan perumahan yang tidak selamat,” katanya.

Dalam majlis itu, Marec edisi ke-39 telah menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records  (MBOR) apabila berjaya mengumpulkan 476 peserta melibatkan ejen hartanah pada konvensyen kali ini.

Menurut Kor Ming, KPKT dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan membangunkan semula bangunan ikonik warisan negara dengan kos peruntukan sebanyak RM600 juta.

Inisiatif ini turut disokong oleh ThinkCity di bawah Program Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD).

Antara bangunan terlibat adalah Pejabat Pos Lama, Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad 1 dan 2, Dataran Merdeka dan beberapa lokasi lain. 

“Kerajaan telah membuat keputusan di mana enam bangunan ikonik atau mercu tanda tersebut akan diberi nafas baharu serta bakal menarik pengunjung setelah siap kelak. 

“Kita juga mempunyai perancangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN untuk membuka salah satu bangunan ikonik lebih awal seperti Carcosa Seri Negara untuk menarik pelancong. 

Ujarnya, salah satu projek utama, Carcosa Seri Negara, dijangka siap tahun ini dan akan menjadi tuan rumah bagi acara besar, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang.

“Pelan pemulihan ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk memartabatkan simbol negara Malaysia dan mengembalikan kepentingannya di peringkat global. Ini adalah langkah yang sudah lama ditunggu selepas bertahun-tahun perbincangan tanpa tindakan konkrit,” katanya. – UTUSAN