Calon berciri WALI di PRK Ayer Kuning

Politik

ROMPIN: Ciri calon yang dipilih bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah WALI iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) rakyat di kawasan tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan per­bincangan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Jawatankuasa UMNO Perak dan kepemimpinan UMNO Bahagian Tapah bagi mengenal pasti calon berkelayakan.

“Ciri-ciri calon adalah WALI, boleh menang, boleh diterima dan disukai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra Berhad di Tanjung Seratus di sini, semalam.

PRK itu bakal diadakan susulan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak, Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi menewaskan empat calon lain.

Ditanya adakah calon daripada Pemuda UMNO akan diketengahkan, susulan rekod cemerlang pada siri PRK sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, parti memberi peluang kepada semua sayap.

“Kita akan menyenarai pendek bakal-bakal calon (dalam masa terdekat),” katanya. – UTUSAN