Bank Islam pertingkat rangkuman kewangan di Malaysia Timur

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) terus mempertingkatkan rangkuman kewangan dengan memperluas perkhidmatan ejen perbankan ke empat lokasi di Malaysia Timur mulai 24 Februari lalu.

Inisiatif Ejen Bank Berdaftar (EBB) Bank Islam seiring dengan komitmen bank untuk menyediakan penyelesaian perbankan patuh syariah yang mudah diakses dan selesa kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Lokasi baharu EBB Bank Islam terletak secara strategik di cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di Semporna, Sipitang dan Kota Belud, Sabah serta Lawas, Sarawak.

Perluasan ini membolehkan komuniti setempat mendapat akses perbankan yang lebih mudah tanpa perlu mengembara sejauh 50 hingga lebih 100 kilometer (km) ke cawangan atau terminal layan diri Bank Islam terdekat.

Melalui Ar-Rahnu YaPEIM sebagai ejen perbankan yang dilantik bank, pelanggan boleh menyempurnakan transaksi perbankan penting seperti deposit dan pengeluaran tunai serta menambah nilai peranti mudah alih mereka.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, perluasan EBB Bank Islam mencerminkan komitmen bank dalam memperkukuh rangkuman kewangan di seluruh Malaysia.

“Kerjasama strategik kami dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui cawangan Ar-Rahnu YaPEIM (ARY) serta Mesra Retail & Cafe Sdn. Bhd. (Mesra) menerusi rangkaian Kedai Mesra, membolehkan kami mendekatkan perkhidmatan perbankan penting kepada komuniti.

“Mereka sebelum ini mempunyai akses terhad terhadap kemudahan perbankan tradisional,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, transaksi di premis ejen perbankannya dijalankan secara masa nyata, direkod secara elektronik dan diuruskan dengan selamat bagi memastikan kepentingan semua pemegang taruh termasuk pelanggan, ejen dan bank.

Jelasnya, pelanggan boleh mengunjungi cawangan EBB Bank Islam untuk menikmati perkhidmatan perbankan yang lancar tanpa dikenakan kos tambahan

“Perluasan ke wilayah Malaysia Timur menandakan pencapaian penting bagi bank dalam memperluaskan akses kewangan dan memperkasakan ekonomi tempatan.

“Pengembangan ini melengkapi penawaran perbankan digital Bank Islam, membolehkan pelanggan memilih antara transaksi secara bersemuka atau dalam talian, bergantung kepada keutamaan dan keperluan mereka.

“Kami juga menggalakkan pelanggan untuk melakukan transaksi perbankan secara elektronik bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan,” jelasnya.

Sejak penubuhannya pada 2019, EBB Bank Islam telah memberikan kemudahan kepada ribuan pelanggan, terutamanya di kawasan luar bandar.

Ketika ini, terdapat 37 ejen, termasuk empat premis baharu di bawah EBB Bank Islam di seluruh negara dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah ini kepada 50 menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN