PETALING JAYA: Kumpulan Public Bank mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM8.93 bilion dan keuntungan bersih milik pemegang saham sebanyak RM7.15 bilion bagi tahun kewangan 2024, masing-masing melonjak sebanyak 4.6 peratus dan 7.5 peratus berbanding 2023.
Ini tidak termasuk satu kali pengurangan nilai muhibah sebanyak RM473.8 juta yang dialami pada tahun sama untuk operasi kumpulan di Hong Kong, Public Bank mencatat keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak 10.1 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Dengan pengurusan kos pendanaan yang proaktif, kumpulan berjaya mengekalkan margin faedah bersih (NIM) yang stabil sambil menjana pertumbuhan dalam pendapatan faedah dan pembiayaan bersih sebanyak 5.1 peratus kepada RM11.07 bilion pada 2024.
Ia disokong oleh pertumbuhan pendapatan bukan faedah yang lebih kukuh, meningkat sebanyak 15.2 peratus kepada RM2.85 bilion pada tempoh yang sama.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, prestasi kumpulan Public Bank bagi 2024 disumbangkan oleh pertumbuhan mampan dalam perniagaan pinjaman dan deposit, yang turut disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan bukan faedah.
Ujarnya, bersama pengurusan kos kumpulan yang berhemat seperti yang ditunjukkan oleh nisbah kos kepada pendapatannya yang cekap sebanyak 34.5 peratus, kumpulan mencapai pulangan ekuiti bersih yang membanggakan sebanyak 13.2 peratus.
“Nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar bagi 2024 kekal rendah iaitu 0.5 peratus, mencerminkan pengurusan risiko kredit kumpulan Public Bank yang kukuh dan portfolio pinjamannya yang teguh, manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman kekal pada tahap berhemat iaitu 166.2 peratus pada akhir Disember 2024.
“Bagi mengiktiraf prestasi yang baik pada 2024, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 11 sen sesaham,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan dividen interim pertama sebanyak 10 sen sesaham yang diisytiharkan pada Ogos 2024, jumlah keseluruhan dividen untuk 2024 ialah 21 sen.
Ini merupakan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM4.08 bilion atau 57 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan pada 2024.
Dividen interim kedua dijadualkan untuk pembayaran pada 24 Mac 2025, dengan tarikh kelayakan dividen pada 13 Mac 2025.
Pada 2025, Ah Lek berkata, persekitaran operasi di Malaysia dijangka baik pada landasan pertumbuhan yang positif, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti pelancongan serta kemajuan dalam projek pelaburan dan infrastruktur.
Namun, katanya risiko ke bawah tetap wujud, khususnya daripada pergolakan global yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar.
“Walaupun kekal berdaya saing, sektor perbankan domestik dijangka terus utuh, disokong oleh mudah tunai yang mencukupi dan persediaan modal yang baik. Bank dijangka terus menggabungkan inovasi dan tranformasi digital dalam operasi perniagaannya,” katanya.
Beliau berkata, dalam persekitaran dinamik ini, Kumpulan Public Bank terus yakin untuk menyelusuri ketidakpastian tatkala aktif mengejar peluang strategik, disokong oleh pengurusannya yang berhemat dan asas yang kukuh.
Katanya, budaya korporat yang teguh dan ketangkasan organisasi kumpulan akan terus memacu inovasi perniagaan dan inisiatif lestari, mengukuhkan lagi komitmen dalam mencipta nilai untuk pihak yang berkepentingan dengannya.
“Menjelang tahun operasi kumpulan Public Bank yang ke-59 pada 2025, kumpulan terus komited sebagai bank untuk semua.
“Kumpulan akan terus mengukuhkan kedudukannya untuk pertumbuhan mampan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – UTUSAN