Kon Yeow perjelas sebab sebenar mahu terus bertanding dalam CEC DAP

Politik

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mahu meneruskan peranan dalam kepimpinan parti merupakan punca mahu bertanding dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP disebalik keputusan enggan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, seandainya memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti di peringkat kebangsaan, maka beliau hanya akan menjadi ahli DAP biasa sahaja tanpa sebarang jawatan, kecuali sebagai Penyelaras Parlimen Batu Kawan.

Katanya, beliau telah menjadi ahli CEC DAP sejak 2001 dan menggalas tanggungjawab sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP bermula 2004 sehingga kini.

Oleh itu katanya, beliau berharap agar dapat terus memainkan peranannya dalam kepimpinan parti.

“Anda boleh lihat bahawa saya sangat aktif dan terlibat dalam pelbagai usaha untuk membangunkan negeri. Jadi, masih banyak cabaran yang perlu saya hadapi. 

“Jadi, sebagai Ketua Menteri (ketika ini), saya rasa jawatan dalam parti juga penting supaya seseorang Ketua Menteri itu boleh terus memainkan peranannya dalam kepimpinan parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang disandangnya sejak 25 tahun lepas dalam pemilihan parti peringkat negeri, pada 4 September tahun lepas.

Bagaimanapun, baru-baru ini, beliau mengesahkan akan bertanding pada pemilihan CEC DAP bulan depan.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau menyasarkan untuk memegang sebarang jawatan di peringkat Persekutuan atau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selepas ini, Kon Yeow enggan mengulas lanjut.

“Perkara pertama ialah, saya harap saya masih hidup (selepas tidak lagi menjadi Ketua Menteri),” katanya berseloroh. – UTUSAN