PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih belum membuat sebarang keputusan terhadap dakwaan yang dilemparkan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Fadzil A Bakar terhadap badan induk itu.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) yang diadakan badan induk itu adalah membincangkan pelbagai perkara dan bukannya menjurus kepada isu Fadzil A Bakar.
Bagaimanapun, ketika ditanya kepadanya, Shahidan enggan berkongsi butiran lanjut mengenai mesyuarat tersebut yang dihadiri oleh semua ahli majlis KOM.
“Mesyuarat biasa. Apa yang penting penaja kami tidak pandang salah. Nak pastikan persiapan Sukan SEA 2025 berjalan lancar.
“Kita akan mengadakan mesyuarat pada 6 Mac ini bagi memutuskan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan AGM kena buat pada April ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Shahidan menafikan dakwaan Fadzil yang menggesa perubahan segera dalam KOM bagi memastikan badan itu kekal relevan, selain mendakwa berlaku salah guna dana.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling yang turut hadir ke mesyuarat tersebut berkata tiada persengketaan berlaku sepanjang ia berlangsung.
“Mesyuarat tadi okay. Tiada pertengkaran dan semua orang faham dengan baik. Ia diadakan bagi menggembirakan semua orang sebab sebelum ini semua orang tidak gembira,” katanya. – UTUSAN