‘BN yakin dapat undi, sebab itu tidak perlu rayu rakyat’

Politik

PAPAR: ‘Mungkin BN yakin menang, jadi rakyat tidak perlu lagi mendengar rayuan mereka. Sebab yakin bahawa mereka akan mendapat undi rakyat.’

Demikian sindiran Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali terhadap kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengkritik rayuan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji sebelum ini merayu agar rakyat memberi peluang semula kepada kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Armizan berkata, Bung Moktar tidak wajar mempersoalkan tindakan Hajiji yang merayu undi rakyat kerana sudah menjadi sudah lumrah seorang pemimpin berbuat demikian.

“Bagi saya dia merayu bukan setakat merayu begitu (sembang kosong). Kalau dalam sesi amanat bersama penjawat awam, Datuk Seri Hajiji membentangkan pencapaian dan hala tuju kerajaan.

“Saya tak tahu, mungkin orang yang bercakap itu, dia tidak perlu merayu, baguslah. Kita tengoklah keputusan (PRN) nanti,” katanya semasa Program Advokasi Sara Hidup dan pembukaan akaun bank penerima sumbangan Sentuhan Kasih Rakyat Parlimen Papar di sini hari ini.

Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata, tiada masalah untuk mana-mana pemimpin merayu kepada rakyat, tetapi kena tunjukkan pencapaian yang telah dicapai. 

“Selainnya, biar rakyat mempertimbangkan sama ada wajar atau tidak untuk mereka memberi sokongan,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, beliau tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenai kerjasama menjelang PRN Sabah. – UTUSAN