DRB-HICOM catat keuntungan sebelum cukai RM247.39 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM247.39 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 disokong oleh hasil sebanyak RM16.19 bilion.

Ini merupakan peningkatan 2.1 peratus daripada RM15.85 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan sebelumnya berakhir 31 Disember 2023.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024, kumpulan melaporkan peningkatan hasil sebanyak 5.2 peratus kepada RM3.97 bilion, berbanding RM3.77 bilion pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM35.17 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024, terutamanya disebabkan oleh pengurangan keuntungan dalam sektor perbankan  yang terjejas akibat elaun kerugian kredit yang lebih tinggi terhadap pembiayaan pelanggan dan kemerosotan nilai pelaburan.

Katanya, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh jualan yang lebih tinggi dalam sektor automotif, perbankan dan hartanah.

“Selain itu, sektor automotif mencatatkan keuntungan yang lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh diskaun dan insentif yang lebih tinggi bagi jualan penghabisan stok akhir tahun. 

“Namun, sebahagian dari kesan ini diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada sektor hartanah, serta aeroangkasa dan pertahanan,” katanya dalam kenyataan. 

Bagi tahun kewangan dalam tinjauan, kumpulan mencatatkan pertumbuhan hasil dalam sektor perniagaan utama berikut, perbankan merekodkan hasil sebanyak RM2.11 bilion, peningkatan sebanyak 23.2 peratus berbanding tahun kewangan 2023.

“Bagi aeroangkasa dan pertahanan, hasil meningkat sebanyak 12.1 peratus kepada RM771.72 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya, RM688.21 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan penghantaran produk pesawat lorong tunggal dan bahagian pesawat tertentu berikutan permintaan yang lebih tinggi daripada syarikat penerbangan.

“Bagi perkhidmatan pula, hasil meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM189.59 juta berbanding tahun kewangan 2023 RM179.61 juta, terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah kenderaan komersial yang menjalani pemeriksaan berkala dalam segmen perniagaan pemeriksaan kenderaan.

“Sementara itu, hasil pos meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM1.77 bilion  berbanding tahun kewangan 2023, RM1.73 bilion, didorong terutamanya oleh hasil yang lebih tinggi daripada perniagaan katering dalam penerbangan yang menyaksikan peningkatan dalam bilangan penyediaan makanan dan perniagaan pengendalian darat yang mendapat manfaat daripada peningkatan dalam operasi penerbangan,” katanya. 

Dalam pada itu, kumpulan terus komited dalam mempertingkatkan penawaran produknya, mengadaptasi teknologi terkini dan menaiktaraf pengalaman pelanggan untuk meliputi keseluruhan jenamanya termasuk Proton, Honda, Mitsubishi dan Isuzu.

“Memanfaatkan portfolio DRB-HICOM yang pelbagai, kumpulan terus menunjukkan daya tahan sambil mengukuhkan keupayaan digitalnya, khususnya dalam sektor perbankan, pos dan perkhidmatan. 

“Sementara itu, peningkatan permintaan terhadap perjalanan antarabangsa membuka peluang pertumbuhan bagi perniagaan aeroangkasa kumpulan,” katanya. 

Selain itu, pembangunan berterusan Automotive High-Tech Valley di Tanjong Malim, Perak, akan menjadi pemangkin bagi sektor hartanah pada masa hadapan.

“Kumpulan menjangkakan prospek sederhana untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya.-UTUSAN