Langkah Pang Ron-Su Yin terhenti

Sukan

PETALING JAYA: Harapan untuk mara ke suku akhir Terbuka Jerman di Mulheim tidak kesampaian selepas beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tersingkir di pusingan kedua, malam tadi.

Dalam aksi di Westernegie Sporthalle, Pang Ron-Su Yin memulakan perlawanan dengan baik apabila menguasai set pertama, namun gagal mengekalkan rentak apabila lawan bangkit di dua set berikutnya.

Pilihan kedua itu tewas kepada gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, dalam pertarungan tiga set yang sengit, 21-17, 11-21, 16-21.

Beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal meneruskan kemaraan selepas tewas tipis kepada Presley Smith-Jennie Gai dari Amerika Syarikat, 20-22, 19-21.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh, turut terkandas selepas ditewaskan oleh Jason Teh dari Singapura dengan keputusan 21-18, 19-21, 12-21.

Pemain profesional negara, Cheam June Wei juga mengalami nasib yang sama apabila tunduk kepada bekas juara dunia 2021, Loh Kean Yew, 21-19, 13-21, 12-21. – UTUSAN