KUALA LUMPUR: Seramai 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Warisan di Saloma Kuala Lumpur sepanjang Ramadan tahun ini.
Karnival yang akan berlangsung bermula 3 Mac hingga 28 Mac di Lanai @ Matic akan memberi peluang kepada pelbagai agensi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memaksimumkan jualan dalam suasana yang kaya dengan budaya dan warisan.
Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Datuk Che Umar berkata, para peniaga turut berpeluang memasarkan pelbagai produk seperti fesyen, aksesori, makanan tradisional, kelengkapan rumah dan barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri dalam persekitaran yang selesa dan strategik.
Beliau berkata, karnival ini akan turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir 12 selebriti tanah air yang akan turut serta dalam penjualan serta sesi bertemu peminat.
“Sebagai salah satu bazar utama dengan aliran trafik tinggi, Karnival Warisan menawarkan kelebihan lokasi di kawasan pelancongan utama sekali gus memberikan visibiliti jenama yang lebih luas.
“Kita turut menyediakan pelbagai aktiviti promosi dan cabutan bertuah termasuk peluang memenangi motosikal elektrik (EV) setiap minggu,” katanya ketika sidang akhbar Karnival Warisan di Saloma Kuala Lumpur di sini, semalam.
Dengan lebih 150 reruai jualan, Karnival Warisan ini bakal menjadi tumpuan para pembeli termasuk golongan professional, ekspatriat dan pelancong di kawasan Segitiga Emas yang mencari pengalaman membeli-belah ekslusif dan unik.
Mengulas lanjut, Riza berkata, Karnival Warisan ini akan beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, kecuali pada minggu terakhir Ramadan, di mana ia akan dibuka 24 jam bagi memenuhi keperluan pengunjung.
“Kami menyediakan pengalaman berbuka puasa yang lengkap, bermula dari pukul 6 petang hingga 9.30 malam, diikuti dengan bufet moreh pada harga RM38. Selain itu, kami juga menyediakan kemudahan solat terawih bagi mereka yang ingin beribadah selepas berbuka.
“Bagi mereka yang ingin bersahur, Saloma Kuala Lumpur turut menawarkan hidangan sahur ala carte bermula dari pukul 12 tengah malam hingga awal pagi,” katanya. – UTUSAN