Pendapatan IOI Properties RM1.42 billion separuh pertama TK2025

Perniagaan

PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (OIPG) mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.42 bilion untuk separuh pertama tahun kewangan 2025 (TK2025) berakhir 31 Disember 2024. 

Walaupun pendapatan daripada segmen pembangunan hartanah menurun sebanyak 14 peratus, ini dapat ditampung oleh prestasi kukuh segmen pelaburan hartanah, yang terus mencatatkan pertumbuhan dengan peningkatan sebanyak 53 peratus. 

Selain itu, segmen hospitaliti dan rekreasi lebih daripada menggandakan pendapatannya, yang dipacu oleh sumbangan daripada tiga tambahan baru dalam portfolionya, iaitu Moxy Hotel, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun sebanyak 30 peratus kepada RM284.5 juta, berbanding RM405 juta yang dilaporkan pada separuh tahun kewangan 2024. 

Prestasi yang lebih lemah ini terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan faedah daripada IOI Central Boulevard Towers. 

Walau bagaimanapun, impak daripada perbelanjaan faedah yang lebih tinggi ini dapat dikurangkan oleh prestasi lebih baik segmen pelaburan hartanah dan hospitaliti dan rekreasi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng berkata, prestasi ini menunjukkan daya tahan portfolio pelaburan yang pelbagai oleh kumpulan, yang membolehkan ia mengekalkan prestasi walaupun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global.

“Walaupun ketidaktentuan ekonomi berterusan, prospek kadar faedah yang semakin menurun memberi petanda positif kepada kumpulan. 

“Tawaran produk kami yang pelbagai merangkumi tiga negara, aliran pendapatan berulang yang besar daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap, serta prospek positif segmen hospitaliti dan rekreasi akan menyediakan asas yang kukuh bagi kumpulan untuk memastikan pendapatan yang berterusan pada masa hadapan,” katanya. 

Pada separuh tahun kewangan 2025, segmen pembangunan hartanah mencatatkan jualan sebanyak RM692.9 juta, dengan projek tempatan menyumbang RM625.1 juta atau 90 peratus daripada jumlah jualan. 

Di Malaysia, jualan didorong terutamanya oleh kawasan Lembah Klang sebanyak RM418.8 juta, yang dipimpin oleh pembangunan bersepadu kumpulan yang berkembang dan matang, iaitu IOI Resort City di Putrajaya dan Bandar Puteri Puchong di Selangor. 

Sementara itu, kawasan Johor mencatatkan jualan sebanyak RM196.8 juta, disumbangkan oleh bandar-bandar yang berkembang pesat seperti Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng berkata, walaupun ketidaktentuan ekonomi berterusan, prospek kadar faedah yang semakin menurun memberi petanda positif kepada Kumpulan. 

“Tawaran produk kami yang pelbagai merangkumi tiga negara, aliran pendapatan berulang yang besar daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap, serta prospek positif segmen hospitaliti dan rekreasi akan menyediakan asas yang kukuh bagi kumpulan untuk memastikan pendapatan yang berterusan pada masa hadapan,” katanya. 

Lee berkata, di peringkat tempatan, kumpulan akan terus memantau pasaran dan menyemak jadual pelancaran projek kami untuk mencapai keseimbangan dalam kadar pengambilan yang positif sambil mengekalkan pendapatan yang berterusan. 

“Selain itu, kami melihat permintaan yang semakin meningkat untuk IOI Industrial Park Iskandar Malaysia berikutan penandatanganan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

“Selain itu, kumpulan juga telah menerima banyak minat untuk taman industri di Lembah Klang, khususnya untuk IOI Industrial Park Banting. Kami akan terus menilai dan memanfaatkan peluang yang timbul dengan menyelaraskan tawaran kami secara strategik dengan kehendak pasaran yang sedang berkembang,” katanya. 

Segmen pelaburan hartanah terus menunjukkan prestasi yang kukuh, didorong oleh kadar penghunian yang tinggi dan jumlah pengunjung yang kuat di pusat membeli-belah IOI. 

Pada Disember 2024, kumpulan berjaya menyelesaikan pengambilalihan Tropicana Gardens Mall dan menjenamakan semula ia sebagai IOI Mall Damansara (IMD). 

Dengan lokasi strategiknya dan rekod prestasi kumpulan dalam pengurusan runcit, IMD dijangka akan meningkatkan prospek jangka panjang segmen ini.

Segmen hospitaliti dan rekreasi terus mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti pelancongan, yang didorong oleh inisiatif Tourism Malaysia. – UTUSAN