THP rekod untung sebelum cukai tertinggi dalam 10 tahun

Perniagaan

PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan prestasi kewangan kukuh dalam tahun kewangan 2024 (TK2024), dengan Untung Sebelum Cukai (USC) sebanyak RM160.42 juta, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Pendapatan dalam tempoh dikaji sebanyak RM877.73 juta pula merupakan rekod kedua tertinggi dalam dekad ini, disokong oleh peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK), serta harga purata jualan produk minyak sawit yang lebih kukuh.

Pengerusi THP, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din berkata, bagi mengiktiraf pencapaian tersebut, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak tiga sen sesaham, peningkatan 50 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengukuhkan komitmen kami dalam memberikan nilai kepada pemegang saham.

“Keputusan kewangan cemerlang THP bagi TK2024 mencerminkan keberkesanan operasi kami, yang selari dengan pelan strategik perniagaan THP,” katanya dalam kenyataan.

Margin USC kumpulan bagi TK2024 meningkat sebanyak 60 peratus, sementara Pendapatan Sesaham (EPS) meningkat dua kali ganda kepada 6.47 sen daripada 3.29 sen, menunjukkan peningkatan keberuntungan yang ketara.

Dalam suku keempat TK2024, THP mencatatkan pendapatan sebanyak RM270.40 juta, peningkatan sebanyak 24.9 peratus daripada RM216.50 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi kukuh dalam suku keempat ini disebabkan oleh harga jualan yang lebih tinggi bagi CPO, PK dan tandan buah segar (FFB).

Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, keputusan TK2024 mencerminkan kejayaan tahun pertama pelaksanaan Al-Falah 22/22, iaitu Pelan Strategik Perniagaan 5 Tahun THP (2024-2028).

“Pencapaian ini mengukuhkan hala tuju pertumbuhan jangka panjang THP, didorong oleh penambahbaikan operasi yang berterusan serta pengurusan kos yang berdisiplin.

“Sebagai perancangan masa depan, kami akan terus memberi tumpuan terhadap pemantapan kecekapan operasi, menangani cabaran pasaran dan mencipta nilai jangka panjang, dalam semangat Ukhwah – usaha kolaboratif ke arah komitmen bersama, menuju kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN