BURIRAM: Juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez menegaskan dia sudah tidak sabar untuk beraksi dalam aksi pemburai tirai musim ini di Thailand pada Ahad.
Pelumba sensasi Sepanyol itu kini bergandingan dengan juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia dalam pasukan utama Ducati dan situasi itu menyebabkan dia lebih teruja.
Marquez mempamerkan prestasi cemerlang dalam sesi ujian pra-musim bersama jentera baharu dan sama sekali tidak menyembunyikan impian besarnya untuk musim ini.
“Perlumbaan pertama sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa, ia bagaikan satu luahan perasaan.
“Tetapi ianya sesuatu yang baik kerana tahun lalu, saya tidak merasakan ‘api’ semangat itu dalam diri saya.
“Tahun ini, saya tahu saya berada di tempat yang betul. Saya berada dalam pasukan dan menggunakan jentera yang tepat sekiranya mahu kembali memburu gelaran.
“Saya dapat merasakan sesuatu yang baik bersama jentera, saya berasa laju, menunggang dengan cara yang betul,” kata Marquez yang sebelum ini bernaung di bawah pasukan Honda.
Untuk rekod, kali terakhir Marquez menjulang gelaran dunia adalah pada 2019.
Bagaimanapun, pelumba berusia 32 tahun itu tetap berpijak di bumi nyata dengan berkata, ‘ujian adalah ujian, perlumbaan adalah perlumbaan’. – AGENSI