Iraq enggan beraksi di Amman

Sukan

BAGHDAD: Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA) menggesa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Palestin bulan depan dipindahkan dari ibu kota Jordan, Amman, atas alasan ia tidak memenuhi kriteria venue berkecuali yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu kenyataan kelmarin, IFA menegaskan bahawa bermain di Amman memberi kelebihan kepada Jordan memandangkan mereka juga bersaing dalam Kumpulan B pusingan kelayakan Asia.

“Keputusan ini menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan keadilan persaingan, memandangkan Iraq, Jordan dan Palestin adalah pesaing langsung. Kedudukan Iraq dan Jordan dalam carta kumpulan juga amat rapat,” kata kenyataan itu.

Iraq kini berada di tangga kedua dengan 11 mata, hanya dua mata di depan Jordan, manakala Korea Selatan mengungguli kumpulan dengan 14 mata.

“Dua pasukan teratas akan mara terus ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sebelum ini, Palestin bercadang untuk menganjurkan perlawanan tersebut di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini di Al-Ram, Baitulmaqdis, namun cadangan itu ditolak oleh Iraq atas faktor kekurangan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Sebagai penyelesaian, FIFA mencadangkan Amman sebagai venue berkecuali tetapi IFA enggan menerima keputusan itu dan meminta venue lain ditetapkan.

Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) dalam reaksinya kecewa dengan tindakan Iraq yang menolak bermain di Baitulmaqdis serta memaklumkan keputusan itu terus kepada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tanpa berunding dengan mereka.

“Kami terkejut dengan keputusan ini. Namun, kami tetap komited untuk mempertahankan hak kami menganjurkan perlawanan di tanah air sendiri,” kata PFA.

Sejak Oktober 2019, semua perlawanan “rumah” Palestin telah diadakan di venue neutral seperti Qatar, Jordan, Kuwait dan Malaysia susulan keadaan keselamatan di wilayah itu. – AGENSI