KOTA TINGGI: ASEAN menegaskan akan terus memperluaskan kerjasama ekonomi dengan lebih banyak rakan dagang tanpa berpihak kepada mana-mana kuasa besar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, strategi itu akan mengukuhkan lagi kedudukan ASEAN dalam landskap ekonomi global bagi memastikan kestabilan dan keseimbangan dalam hubungan perdagangan.
“Dengan menambah lebih banyak rakan kerjasama, ini bermakna ASEAN tidak memilih satu pihak sahaja dan berkecuali.
“ASEAN mempunyai rakan dialog, perjanjian perdagangan selain perkongsian ekonomi yang sudah terjalin sekian lama,” katanya ketika diminta mengulas tentang perkembangan terkini hubungan perdagangan ASEAN, termasuk pembabitan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut membabitkan China, Jepun dan India.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 yang dihadiri 10 Menteri Ekonomi ASEAN dan Timor-Leste, di Desaru, hari ini.
Tengku Zafrul juga memaklumkan ASEAN telah menaik taraf perjanjian perdagangan dengan China dan India serta sedang memulakan rundingan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta berharap dapat mengumumkan satu kenyataan hasrat pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang dijadualkan pada Mei depan.
Menurutnya, ASEAN turut memberi tumpuan terhadap peningkatan perdagangan rakan serantau yang kini berada di bawah paras 25 peratus dan optimis dapat meningkatkan angka itu dengan memodenkan perjanjian perdagangan sedia ada, termasuk menerusi inisiatif seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
Mengulas mesyuarat pemukiman AEM itu, beliau mengakui ia menjadi platform penting bagi membincangkan hala tuju Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), termasuk menetapkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bagi tahun ini.
“Sebanyak sembilan PED yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Ekonomi ASEAN yang dibincangkan hari ini dengan mendapat sokongan penuh, iaitu merangkumi pemodenan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ASEAN-China FTA 3.0), penyediaan garis panduan pelaburan mampan, serta pembangunan dasar kenderaan elektrik ASEAN,” katanya.
ASEAN juga kini sedang mempercepatkan rundingan bagi Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang dijangka menjadi pemacu utama transformasi digital serantau serta pelaksanaan Nombor Pendaftaran Perniagaan Unik ASEAN (UBIN) yang bertujuan memudahkan urusan perdagangan merentas sempadan.
Mesyuarat itu juga bersetuju mewujudkan sebuah pasukan petugas khas peringkat tinggi bagi menghadapi cabaran ekonomi global termasuk kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat serta memperkukuhkan kerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global.
“AEM juga menegaskan bahawa langkah strategik diperlukan bagi memastikan kestabilan dan daya saing ASEAN sebagai blok ekonomi kelima terbesar dunia. ASEAN perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menangani cabaran ini dengan memastikan rantau ini kekal kompetitif,” katanya. – UTUSAN