PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) FGV Holdings Berhad (FGV) melonjak kepada RM276 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, peningkatan 171 peratus berbanding RM102 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan kumpulan juga mencatatkan pertumbuhan yang stabil, dengan jumlah RM22.2 bilion berbanding RM19.4 bilion pada tahun kewangan 2023.
FGV turut merekodkan keuntungan operasi sebelum perubahan nilai saksama dalam perjanjian pajakan tanah (LLA) dan kemerosotan nilai sebanyak RM1.2 bilion, mencatatkan peningkatan sebanyak 89 peratus berbanding tahun lalu.
Bahagian perladangan menjadi penyumbang utama pertumbuhan Kumpulan, didorong oleh tuaian buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi, margin kukuh bagi produk kelapa sawit, serta harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi pada RM4,102 setiap tan metrik (MT) berbanding RM3,901 setiap MT pada 2023.
Bahagian gula turut memberi sumbangan positif hasil daripada peningkatan jumlah jualan dan keuntungan.
Keuntungan sebelum zakat dan cukai meningkat kepada RM566 juta berbanding RM336 juta, dengan semua bahagian menunjukkan prestasi yang lebih baik, manakala bahagian minyak dan lelemak terus berdepan dengan cabaran dalam persekitaran pasaran yang kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, tahun 2024 merupakan tahun yang mencabar namun memberi ganjaran, membuktikan daya tahan FGV dalam pasaran yang semakin dinamik dan dikawal selia.
“Turun naik harga MSM akibat perubahan bekalan dan permintaan global, ketegangan geopolitik, serta piawaian pensijilan dan kelestarian yang lebih ketat seperti Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), mendorong kami untuk sentiasa meningkatkan prestasi.
“Selepas melalui tahun kewangan 2023 yang mencabar, FGV bangkit mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju dalam industri perniagaan agri,” katanya.
Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PATAMI Kumpulan meningkat kepada RM116 juta berbanding RM70 juta, sementara keuntungan operasi pula melonjak kepada RM410 juta, dipacu hasil BTS yang lebih tinggi, margin produk kelapa sawit yang lebih baik dan keuntungan yang lebih kukuh dari bahagian gula.
FGV mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 5.0 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM182.41 juta.
Harga MSM dijangka kekal tinggi pada separuh pertama 2025, didorong oleh pengeluaran BTS yang lebih rendah secara bermusim, mandat biodiesel Indonesia, serta bekalan minyak sayuran yang lebih ketat.
Bahagian perladangan FGV berusaha mencapai sasaran tuaian dan OER, manakala bahagian gula akan terus memperkukuh kehadiran pasaran serta meneruskan rundingan dengan kerajaan berhubung mekanisme harga yang lestari.
Sementara itu, bahagian logistik dan sokongan memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti, pengoptimuman kos dan pengembangan rangkaian. – UTUSAN