Stano akui kecewa,Sabah berhak menang

Sukan

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano mengakui sedikit kecewa selepas skuad kendaliannya sekadar terikat seri menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi.

Menurutnya, The Rhinos menampilkan aksi bertenaga terutama pada separuh masa kedua dan layak untuk membawa pulang tiga mata, namun tetap berpuas hati dengan satu mata di tempat lawan.

“Sebelum perlawanan, saya rasa keputusan seri adalah sesuatu yang boleh diterima. Namun, selepas melihat cara pasukan beraksi, kami sebenarnya berhak untuk menang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sabah berpeluang meraih kemenangan selepas mencipta beberapa peluang berbahaya, namun ketumpulan penyudah serta keputusan penalti yang gagal disempurnakan Darren Lok menjadi punca pasukan itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

“Darren sudah menyempurnakan penalti dalam dua perlawanan sebelum ini, tetapi kali ini dia gagal.

“Saya tidak menyalahkannya kerana inilah bola sepak. Kami akan terus beri sokongan kepadanya dan fokus untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Stano mengakui pasukannya terkesan dengan beberapa kecederaan yang menimpa pemain utama, termasuk Dominic Tan yang mengalami kecederaan dalam perlawanan tersebut.

“Kami mengalami banyak kecederaan musim ini. Gabriel dan Haris Stamboulidis sudah disahkan terpaksa berehat sepanjang musim, manakala Dominic juga masih belum pulih,” katanya.

Sabah kini menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Terengganu FC minggu depan dalam usaha mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Super.

“Kami kehilangan dua mata berharga hari ini, tetapi masih ada beberapa perlawanan lagi. Sasaran utama kami adalah untuk menamatkan musim di tempat ketiga dan kami akan terus bekerja keras untuk mencapainya,” tambahnya-UTUSAN