Anwar, Rafizi dijangka terus terajui PKR

Politik

SHAH ALAM: Jawatan Presiden atau Timbalan Presiden PKR akan kekal diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli sama ada ia tidak dipertandingkan atau menerima satu pencalonan dalam pemilihan parti pada Mei ini.

Perkara tersebut dilihat selepas Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari memutuskan untuk mempertahankan jawatannya selepas mengambil kira keperluan sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kemudian, Anwar berkata, beliau enggan melihat peristiwa pengkhianatan seperti ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 yang mengakibatkan perpecahan dalam PKR, namun menekankan proses demokrasinya harus berjalan sebagai sebuah parti dengan gagasan reformasi.

“Memang kita bincang panjang ada rasionalnya seperti mana diteruskan oleh pemimpin UMNO untuk mengelak daripada semua isu dan tumpu kepada pilihan raya umum. Tetapi, saya memilih untuk tetap menekankan proses-proses demokrasi harus berjalan, parti ini parti reform yang menuntut kebebasan terhadap demokrasi.

“Sukar bagaimanapun untuk kita lalui, saya percaya rakan-rakan sudah matang. Kita lalui zaman yang getir, perpecahan, pengkhianatan paling jijik yang dikesalkan, tetapi kita bangkit semula sebagai satu kekuatan. Kalau kita matang, maka pemilihan ini akan jauh lebih waras dan bijaksana.

“Dengan pengalaman itu, jawatankuasa disiplin dan pemilihan parti tentu lebih jauh pilihan parti tentu akan jauh lebih keras dan tegas untuk memastikan peraturan itu dipatuhi,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Selangor 2025, malam tadi.

Tambahnya, pemilihan perlu diteruskan dengan memilih pemimpin yang boleh berkhidmat dengan baik.

“Harus ingat, kita ikut sebab amanah pusat, memang ada bicara di peringkat pusat, tidak mungkin kita pertahankan kebobrokan sistem politik yang ada dalam negara ini. Jadi, itu saya hendak sebut tentang pemilihan, seperti biasa melalui pemilihan, semua tanya saya, saya kata ok baik dan semua mengatakan semua calon Presiden, PM,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan jawatan nombor satu dan dua parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan PKR bukan keputusan tetap susulan perkara tersebut masih di peringkat cadangan dan belum diputuskan.

Naib Presiden, Chang Lih Kang memberitahu, PKR sebagai sebuah parti yang bersifat demokratik tidak pernah melarang sesiapa sahaja untuk bertanding apa-sapa jawatan pada pemilihan parti itu.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menasihatkan calon-calon supaya bertanding di atas semangat idealisme dan perjuangan parti dengan tidak berkempen atas kekuatan sendiri.

“Kempen atas agenda dan program yang akan dilaksanakan,” tegasnya.

Selain itu, beliau sekali lagi memberi jaminan kerajaan mempunyai sokongan yang kukuh atas semangat kemuafakatan dalam pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita sudah mencecah lebih dua tahun dalam kerajaan dan ia kukuh kerana semangat kemuafakatan di dalam pimpinan parti-parti, selain daripada kita faham keperluan untuk PKR, DAP dan Amanah dalam PH, ia tidak pernah meremehkan parti lain.

“Malah kita menghargai hubungan rakan-rakan kita terutamanya UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kemudian GPS dan GRS bekerjasama dan tidak langsung melayan segala percubaan merosakkan hubungan dan program dan agenda kita,” ujarnya. – UTUSAN