RUU PSB: Pembangkang bantah tak kemuka cadangan

Politik

SHAH ALAM: Pembangkang didakwa tidak mengemukakan cadangan bagi menambah baik kualiti penempatan bagi golongan miskin bandar ketika menentang Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).

Malah, Perikatan Nasional (PN) dikatakan tidak melaksanakan sebarang dasar bagi menyelesaikan isu perumahan miskin bandar seperti di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang melibatkan rumah pangsa satu bilik berusia 50 hingga 60 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kesal dengan sikap tersebut apabila mendakwa sudah berusaha menyediakan dana berbilion ringgit untuk melibatkan penyertaan pihak swasta bagi melaksanakan pembaharuan semula banar.

“Ya, memang saya cukup marah, apa hendak cari dana berbilion untuk mendapatkan penyertaan swasta dengan suntikan kerajan, kamU 33 bulan tak buat apa, tak fikir ini kelompok paling miskin di bandar.

“Sekarang kamu cucuk jarum, kamu sudah tunjuk kebodohan dan cara kamu khianat semata-mata kerana kuasa dan hasat dengki. Kalau ia tidak betul, saya terima. Cadangan yang baik saya terima.

“Tetapi, cadangan untuk bangunkan kelompok termiskin di bandar belum berlaku. Di Seri Perlis, majoriti Melayu, ramai India, kelompok kecil Cina. Saya tak kira kaum, yang kebetulan majoriti Melayu, berilah harapan kepada mereka.

“Sampai bila? 50 tahun sudah rumah itu siap, pimpinan kerajaan silih berganti, kemudian tiada yang dilakukan. Jadi, itulah keadaannya di Malaysia, cadangan yang baik hendak membela rakyat miskin di tentang oleh para pengkhianat pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Selangor 2025, malam tadi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Anwar memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk menipu atau menyebar fitnah membabitkan cadangan RUU PSB.

Menurut beliau, RUU berkenaan bertujuan untuk melaksanakan pembangunan semula dan membantu penghuni-penghuni yang majoritinya miskin.

Jelas Anwar, banyak lagi perkara yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini seperti projek tebatan banjir yang baru-baru ini diarahkannya untuk disegerakan.

“Minggu lalu saya jemput Menteri Besar Kelantan, terus beritahu saya hendak percepatkan projek tebatan bajir kerana tak sampai hati tiap tahun dari masa saya (menuntut) di universiti (pergi) ke Kelantan, sampai sekarang setiap tahun banjir. Buat sedikit sana, buat sedikit sini, tak selesai.

“Saya minta dengan Datuk Seri Fadillah, saya tanya boleh tak kalau kita percepatkan, peruntukkannya agak besar tetapi tidak bermula pada tahun ini, kita mula tahun ini tak boleh belanja semua RM2 bilion tahun ini.

“Jadi, fasa satu, dua dan tiga, tebatan banjir Rantau Panjang, Sungai Golok dan saya berunding dengan Kerajaan Thailand, buat jambatan Sungai Golok – Rantau Panjang, korek muara Sungai Golok untuk selamatkan rakyat Kelantan walaupun mereka masih membangkang.

“Saya minta Menteri Besar percepatkan proses pengambilalihan tanah, selesai enam bulan kita ambil tanah dan kita rancang betul-betul.

“Pas perintah Kelantan dan 33 bulan memerintah (Kerajaan Persekutuan), ada program tebatan banjir yang boleh selesaikan masalah? Yang ada projek tebatan banjir rundingan terus, tahu ertinya? Dia runding terus ‘masuk’. Kita kena menghalang rundingan terus, mesti ada proses dilalui,” tegasnya. – UTUSAN