KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal tampil dengan corak permainan lebih agresif dalam Kejohanan Badminton Terbuka Orleans di Perancis yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 9 Mac ini.
Kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 300 itu menjadi pentas ujian buat mereka bagi mengaplikasikan strategi baharu yang diperkenalkan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi sebelum saingan lebih besar di All England pada minggu seterusnya.
Aaron mendedahkan bahawa taktikal baharu tersebut sebenarnya sudah dicuba dalam beberapa kejohanan sebelum ini, namun belum mencapai tahap terbaik selain masih bergelut dengan isu konsistensi.
“Dari segi persiapan bersama Herry, ianya berjalan dengan baik kerana kami banyak berbincang. Kami baru tiga minggu bersama Herry, jadi masih dalam proses menyesuaikan diri dengan strategi baharu.
“Taktikal ini lebih agresif dan telah kami gunakan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, namun masih belum cukup konsisten. Saya harap ianya menjadi kelebihan buat kami di Orleans dan All England,” kata Aaron kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Dalam pada itu, Aaron turut menjelaskan bahawa kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya bukan satu isu besar dan tidak menjejaskan prestasinya di dalam gelanggang.
“Ianya bukan kecederaan baharu kerana sudah lama dan hanya sesekali berulang. Ianya tidak mengganggu prestasi saya, cuma saya perlu lebih berhati-hati,” ujarnya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara kejohanan tertua badminton itu pada 2019 serta pada edisi tahun lalu.
Malaysia turun dengan enam pasangan beregu lelaki negara yang dijangka mampu menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 tahun sejak Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul juara pada 2007.-UTUSAN