PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui dia tidak senang duduk apabila melihat pasukannya seri tanpa jaringan menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Pengendali dari Jepun itu mengakui kegagalan pasukannya menterjemahkan deretan peluang telah menambahkan lagi tekanan kepadanya dalam aksi yang penuh mendebarkan.
“Pertama sekali, aksi hari ini dalam tempoh tiga bulan sejak saya datang ke sini ia sangat tertekan. Saya tak boleh cakap perlawanan yang teruk tapi tertekan.
“Seperti yang awak katakan, kami ada banyak peluang tetapi tak bawa masuk bola ke dalam gol. Inilah dia. Lawan juga ada banyak peluang. Jadi, 0-0 adalah keputusan yang adil,” katanya.
Pada aksi tersebut, Selangor perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang cemerlang menyelamatkan sepakan penalti pada babak kedua, sekali gus mengelak daripada menanggung kekalahan di tempat sendiri.
Keputusan seri itu membolehkan Selangor kekal di kedudukan kedua Liga Super dengan kelebihan lapan mata meninggalkan Sabah di tempat ketiga dengan baki empat perlawanan.
“Fokus untuk aksi seterusnya, nasib baik boleh mengekalkan jarak lapan dengan empat baki perlawanan jadi kena fokus untuk aksi tersebut dan dapatkan tiga mata, itu misi kami. Selangor kena dapat lebih banyak (mata) untuk tempat kedua.
“Kami perlu lakukannya (tamatkan saingan di tempat kedua). Kami mesti dapatkan tempat kedua,” katanya.
Selepas ini, Selangor dijadual menentang pasukan tercorot liga, Kelantan Darul Naim FC (KDN) FC di venue yang sama namun turun dengan status sebagai pelawat.-UTUSAN