Untung bersih Bank Islam RM571.1 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM571.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, peningkatan sebanyak 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan sesaham telah meningkat kepada 25.20 sen manakala pulangan ke atas ekuiti bersih adalah 7.6 peratus untuk tahun kewangan 2024.

Pertumbuhan keuntungan ini didorong oleh peningkatan pendapatan bersih dan pengurangan peruntukan impak bagi pembiayaan.

Pertumbuhan pendapatan bersih kumpulan ini didorong terutamanya oleh peningkatan 5.1 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih, yang meningkat kepada RM2.2 bilion.

Ini disokong oleh pertumbuhan sekuriti pelaburan dan pembiayaan dari tahun ke tahun, dengan peningkatan margin pendapatan bersih (NIM) kepada 2.13 peratus untuk tahun kewangan 2024.

Kumpulan juga mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi dalam yuran dan komisen sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun lepas.

Peruntukan bersih kumpulan untuk impak pembiayaan dan pinjaman menurun sebanyak 46.0 peratus kepada RM94.6 juta, mencerminkan peningkatan dalam kos kredit pembiayaan kepada 0.14 peratus berbanding 0.26 peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023.

Sehingga 31 Disember 2024, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.06 peratus, jauh di bawah purata industri sebanyak 1.44 peratus, yang menunjukkan kualiti aset kumpulan yang kukuh.

Lembaga Pengarah berbesar hati mengisytiharkan dividen interim kedua bertaraf tunggal secara tunai sebanyak 4.12 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan sebanyak 15.12 sen sesaham.

Pertumbuhan dalam pembiayaan kasar didorong oleh peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 6.3 peratus dalam pembiayaan pengguna dan 6.7 peratus dalam pembiayaan komersial.

Walau bagaimanapun, penurunan dalam pembiayaan korporat telah menyebabkan jumlah pembiayaan kasar mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun lepas kepada RM70.2 bilion.

Deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat sebanyak 6.4 peratus berbanding tahun lepas kepada RM80.9 bilion.

Akaun semasa, simpanan, dan akaun pelaburan transaksi (CASATIA) berjumlah RM32.1 bilion pada Disember 2024, yang menerjemahkan kepada komposisi CASATIA yang sihat sebanyak 39.7 peratus.

Nisbah Modal Keseluruhan kekal kukuh pada 20.0 peratus setakat 31 Disember 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed menyatakan, industri perbankan dan perkhidmatan kewangan Islam sedang mengalami transformasi pesat yang didorong oleh kemajuan teknologi dan jangkaan pelanggan.

“Kami melihat teknologi sebagai pemangkin pertumbuhan yang membolehkan kami menawarkan penyelesaian inovatif berfokuskan pelanggan.

“Sungguhpun berhemat dalam aspek kewangan, pelaburan digital merupakan strategi kami untuk kekal sebagai peneraju dalam trend industri, membanteras penipuan kewangan dan menetapkan piawaian baharu dalam perbankan Islam.

“Sebagai langkah signifikan dalam perjalanan transformasi digital Bank Islam, kami meletakkan asas yang kukuh menerusi penyediaan teknologi termaju bagi mempersiapkan kumpulan dalam mendepani masa hadapan,” katanya.

Strategi pertumbuhan perniagaan Bank Islam bagi 2025 adalah dengan memberi tumpuan kepada pengembangan segmen Pengurusan Kekayaan, Ar-Rahnu dan perkhidmatan pertukaran matawang (bureau-de-change), serta memperkukuh kerjasama dengan anak syarikat, khasnya BIMB Investment Management Berhad dan BIMB Securities Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, kumpulan akan kekal meneruskan pemerolehan aset dalam sektor hijau, mampan dan berkembang.

“Kumpulan terus komited untuk menerapkan kemampanan dalam operasi dan mendorong perubahan bermakna sambil mengejar pertumbuhan yang mampan.

“Fokus ini termasuk menyediakan sokongan terhadap usaha peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, memupuk komuniti bagi tujuan rangkuman kewangan dan membangunkan amalan tadbir urus yang utuh, selaras dengan lima komitmen kemampanan kami,” katanya.

Bank Islam menjangkakan untuk menggerakkan RM28 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang akhir 2025, sekali gus memacu pertumbuhan aset tanggungjawab sosial dan alam sekitar serta patuh syariah. – UTUSAN