PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard menjelaskan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi boleh menentukan sama dia mahu meneruskan saingan dalam mana-mana kejohanan yang disertai atau tidak.
Ballard berkata, kelonggaran tersebut diberikan kepada atlet untuk fokus kepada acara seterusnya jika seseorang atlet itu bertanding lebih daripada satu acara.
“Ia adalah keputusan untuk memberi tumpuan kepada acara seterusnya. Seperti di kebanyakan negara, atlet menyertai pelbagai acara dan pertandingan lebih awal, dan kemudian bergantung kepada bagaimana latihan berjalan, mereka akan memutuskan sama ada untuk bertanding atau tidak.
“Jika anda memasuki pertandingan, anda boleh memutuskan untuk berlari atau tidak. Tetapi jika anda tidak memasuki pertandingan, anda tidak boleh berlari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, Azeem memperbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, Amerika Syarikat (AS), 14 Februari lalu.
Penuntut Universiti Auburn itu melakukan catatan masa 6.60 saat (s) di peringkat separuh akhir untuk layak ke final, sekali gus mengatasi 6.62s yang dilakukan di kejohanan sama dua tahun lalu.
Namun, pada aksi final selain Azeem, lima lagi peserta tidak berlumba dengan pingat emas menjadi milik Adekalu Fakorede dari Universiti Mississippi State manakala perak dimenangi atlet Universiti Southern California, Travis Williams.
Azeem seterusnya akan beraksi di Kejohanan Southeastern Conference (SEC) di Texas A&M University pada minggu ini.-UTUSAN